TUARAN: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, menghadiri Majlis Sambutan Ambang Ramadan 2026 yang berlangsung di Dewan Seri Sulaman, di sini, pada Ahad.
Turut mengiringi beliau ialah isteri, Datin Seri Panglima Datuk Hajah Juliah Salag.
Hadir sama memeriahkan majlis ialah Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Kadzim M. Yahya; Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Dr Andi Md Shamsureezal; serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Dalit, Datuk Jasnih Daya yang juga Pengerusi Eksekutif Innoprise Corporation Sdn Bhd (ICSB).
Majlis berkenaan diadakan sebagai persiapan menyambut ketibaan bulan Ramadan, selain menjadi platform memperkukuh ukhuwah dan semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat setempat.
Antara pengisian utama program ialah ceramah agama yang disampaikan oleh juara musim pertama rancangan Imam Muda, Ustaz Muhammad Asyraf Mohd Ridzuan, serta penceramah jemputan khas dari Indonesia, Ustazah Dr Hajah Oki Setiana Dewi.
Sambutan Ambang Ramadan itu turut menyaksikan kehadiran masyarakat setempat yang mengambil peluang untuk mendengar tausiah dan memperkukuh persediaan rohani menjelang bulan penuh keberkatan.






