Anggota Polis Ditahan Bantu Siasatan Tembakan Terlepas di Tawau

Anggota Polis Ditahan Bantu Siasatan Tembakan Terlepas di Tawau

0
SHARE

TAWAU: Seorang anggota polis ditahan bagi membantu siasatan insiden tembakan terlepas yang mencederakan rakan setugas semasa operasi tangkapan di kawasan komersial Ba Zhong, Jumaat lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau Supt Champin Piuh berkata koperal berusia 39 tahun yang cedera telah menjalani pembedahan di Hospital Tawau dan kini menerima rawatan susulan di wad ortopedik.

Siasatan dibuka di bawah Seksyen 37 Akta Senjata 1960,” katanya berhubung perkembangan kes yang turut mencederakan seorang lelaki warga asing.

Menurutnya, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun telah melawat mangsa di hospital. Lelaki warga asing berusia lingkungan 30-an yang ditahan turut menerima rawatan.

Champin berkata suspek disiasat atas beberapa kesalahan termasuk menghalang penjawat awam, memiliki kad pengenalan orang lain secara tidak sah, kesalahan imigresen, serta pemilikan dan penyalahgunaan dadah.

Insiden berlaku kira-kira jam 10.45 pagi apabila suspek cuba melarikan diri selepas kenderaannya ditahan, sebelum berlaku pergelutan yang menyebabkan satu das tembakan dilepaskan dan mencederakan kedua-dua mangsa.