RANAU: Seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun ditahan polis selepas disyaki memproses minuman ketum di rumahnya di sebuah kampung di daerah ini, dalam satu operasi oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD Ranau, petang Ahad.
Polis Ranau dalam satu kenyataan memaklumkan tangkapan dilakukan kira-kira jam 6.50 petang apabila anggota BSJN IPD Ranau menjalankan pemeriksaan di kediaman suspek selepas memperkenalkan diri.
“Hasil pemeriksaan menemui 19 botol berisi air ketum bersama beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk memasak minuman tersebut.
“Antara barangan yang dirampas termasuk tong gas, dapur masak, periuk, bekas polisterin putih dan tong plastik berwarna kuning. Suspek yang merupakan seorang penganggur kemudian ditahan untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” jelas kenyataan itu di sini, hari ini.
Pihak polis turut mengingatkan orang ramai supaya tidak terlibat dalam aktiviti pemprosesan, pengedaran atau penggunaan ketum kerana ia merupakan satu kesalahan di sisi undang-undang dan boleh dikenakan tindakan tegas.






