Anggota Tentera Ditamatkan Perkhidmatan Kerana Enggan Terima Suntikan Vaksin COVID-19

Anggota Tentera Ditamatkan Perkhidmatan Kerana Enggan Terima Suntikan Vaksin COVID-19

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Seorang anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) diberhentikan perkhidmatan selepas disahkan menolak untuk menerima suntikanĀ vaksin COVID-19.

Anggota tersebut sekaligus dibuang kerja kerana kegagalannya menerima suntikan itu dan dikenakan tindakan tatatertib kerana ingkar perintah yang telah ditetapkan awal.

Menurut TDM, sebelum melaksanakan sebarang tugas, setiap anggotanya wajib mengambil suntikan vaksin COVID-19 kecuali kepada kepada anggota yang tergolong dalam kumpulan tidak layak untuk menerima vaksin.

“Pengambilan vaksin dalam kalangan anggota TDM diwajibkan atas dasar mereka hidup secara berkelompok…

“Selain itu, peranan dan tanggungjawab TDM kini sebagai petugas barisan hadapan dalam melaksanakan penugasan mahupun latihan turut berdepan kebolehjangkitan COVID-19.

“Sehubungan itu, adalah wajar untuk semua anggota TDM mengambil vaksin bagi mengekang penularan yang bukan sahaja akan berlaku dalam kalangan mereka, bahkan boleh menjangkiti keluarga dan masyarakat keseluruhannya,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, sebuah portal media melaporkan anggota tentera yang dikenali Sarjan Wan Ramli Wan Seman mendakwa perkhidmatannya hampir 20 tahun itu ditamatkan berkuat kuasa Khamis ini, selepas ingkar arahan untuk mengambil vaksin COVID-19.

Wan Ramli, 39, dari Batalion ke-24 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di Rasah, Negeri Sembilan dikatakan akan kehilangan pencen yang sepatutnya diterima 16 bulan lagi.

Anggota itu turut mendakwa setiap rakyat mempunyai hak untuk tidak mengambil vaksin COVID-19 dan berkhidmat sebagai tentera tidak menjadikan beliau berbeza dengan individu lain.

TDM berkata, pengambilan vaksin turut mendukung hasrat dan aspirasi kerajaan mencapai imuniti kelompok, sekali gus memutuskan rangkaian penularan COVID-19 di negara ini.

“Setiap anggota TDM perlu mematuhi dan menuruti perintah dikeluarkan bagi menentukan misi serta kesiapsiagaan organisasi tercapai,” katanya lagi.