KOTA KINABALU: Kumpulan muzik eksperimental berkonsepkan gabungan etnik Borneo, Tompuvan melakar pencapaian membanggakan apabila dinobatkan sebagai salah satu pemenang InterContinental Music Awards (ICMA) 2026 – Best of Asia menerusi lagu ciptaan sendiri, “The Last Warrior”.
Kemenangan sulung Tompuvan dalam kategori Asian Folk itu sekali gus mengangkat muzik tradisional serta kekayaan budaya Borneo ke pentas antarabangsa.
Tompuvan menyifatkan pengiktirafan tersebut bukan sekadar kemenangan buat kumpulan itu, malah menjadi penghargaan besar terhadap identiti, warisan dan seni muzik yang dibawa oleh anak-anak Sabah.
Sebelum kejayaan tersebut, Tompuvan turut mewakili Sabah dan Malaysia pada World Music and Dance Festival (WMDF) 2026 di Hakodate, Hokkaido, Jepun pada Ogos lalu.
Festival antarabangsa yang dianjurkan sejak 2008 itu menarik lebih 30,000 pengunjung tempatan dan antarabangsa setiap tahun. Edisi 2026 menghimpunkan kira-kira 33 artis serta kumpulan antarabangsa dari pelbagai negara. Hello Sabah
Di Hakodate, Tompuvan mempersembahkan muzik kontemporari Borneo yang menggabungkan alat muzik tradisional, elemen muzik etnik dan susunan moden. Persembahan mereka menerima sambutan menggalakkan daripada penonton Jepun serta pengunjung antarabangsa.
Ahli Tompuvan, Daniel Filex James berkata, sambutan yang diterima di Jepun melebihi jangkaan mereka dan membuktikan muzik tradisional Sabah mampu menembusi sempadan serta diterima masyarakat dunia.
Turut mencipta kejayaan di ICMA 2026 ialah Elica Paujin menerusi lagu “Oh Huminodun”, yang disenaraikan bersama Tompuvan sebagai antara lima pemenang Best of Asia bagi kategori Asian Folk. Kejayaan kedua-dua wakil Malaysia itu turut disahkan dalam senarai rasmi pemenang ICMA 2026.
Tompuvan turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang sentiasa mempercayai serta menyokong perjalanan seni mereka sehingga mampu membawa nama Sabah, Borneo dan Malaysia ke persada dunia.
Pencapaian ini membuktikan karya anak-anak Sabah mampu berdiri sebaris dengan hasil seni penggiat muzik dari seluruh dunia.






