KOTA KINABALU: Sabah menyasarkan penyertaan seramai 651,610 orang sempena Hari Sukan Negara (HSN) 2026 yang akan berlangsung serentak di seluruh negara pada 10 Oktober depan.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, sasaran itu mewakili kira-kira 17 peratus daripada 3.833 juta penduduk Sabah, seperti ditetapkan Jawatankuasa Induk HSN Peringkat Kebangsaan.
Beliau berkata, pencapaian sasaran itu memerlukan kerjasama strategik kementerian, jabatan dan agensi kerajaan negeri serta Persekutuan, selain persatuan dan kelab sukan di seluruh Sabah.
“Saya amat mengharapkan penganjuran HSN di Negeri Sabah pada tahun ini akan mencapai sasaran penyertaan yang telah ditetapkan oleh Jawatankuasa Induk HSN Peringkat Kebangsaan iaitu seramai 651,610 orang.
“Saya juga mengharapkan agar sasaran ini dapat dicapai melalui kerjasama strategik di setiap kementerian, agensi dan jabatan kerajaan negeri dan Persekutuan supaya kemeriahan Hari Sukan Negara ini dapat disemarakkan dan dirasai oleh rakyat Negeri Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Sabah 2026 Bilangan 1, di sini.
Nizam yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk HSN Peringkat Negeri Sabah 2026 berkata, penganjuran tahun ini turut membawa kelainan apabila Tuaran dipilih sebagai lokasi utama sambutan peringkat negeri.
Menurutnya, siri penganjuran sebelum ini lebih tertumpu di bandar utama seperti Kota Kinabalu, Tawau, Sandakan dan Keningau.
Majlis perasmian HSN Peringkat Negeri Sabah 2026 dijadual berlangsung di Padang Pekan Tuaran pada 10 Oktober, bermula jam 7.30 pagi dengan sasaran kehadiran 8,000 peserta dan pengunjung. Majlis itu dijangka dirasmikan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Selain sambutan utama di Tuaran, HSN turut dilaksanakan secara serentak di Bahagian Tawau, Sandakan, Beaufort, Kudat dan Keningau.
Antara aktiviti yang dirancang ialah Senamrobik Perdana, Larian Ria Madani, Berjalan Ria Madani, demonstrasi waja diri, Aerobicthon, sukan rakyat dan tradisional, sukaneka kanak-kanak, bola jaring 3 lawan 3, pertandingan e-Sukan serta sepakan penalti.
Penganjuran tahun ini juga akan memperkenalkan masyarakat kepada beberapa sukan baharu termasuk pickleball, footgolf, digital dodgeball dan virtual taekwondo.
Nizam berkata, semua aktiviti disediakan secara percuma, manakala peserta akan menerima sijil digital HSN 2026 serta berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah.
Dalam pada itu, beliau menegaskan HSN tidak seharusnya dilihat sebagai aktiviti sukan yang diraikan hanya sehari dalam setahun, sebaliknya menjadi pemangkin kepada pembudayaan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.
Menurutnya, sambutan berkenaan menjadi simbol sokongan bersama antara pemimpin dan rakyat dalam usaha menjadikan aktiviti fizikal dan sukan sebahagian daripada kehidupan seharian.
“Budaya hidup sihat melalui aktiviti sukan ini perlu menjadi amalan kepada seluruh rakyat Sabah.
“Bukan hanya 10 Oktober ini sahaja, tetapi sepanjang kehidupan kita,” katanya.
Beliau berkata, penglibatan pemimpin bersama masyarakat dalam HSN juga diharap dapat memberikan sokongan dan galakan supaya amalan bersukan terus dipupuk dari semasa ke semasa.
Pada masa sama, Nizam berkata antara matlamat HSN 2026 ialah meningkatkan penyertaan masyarakat dalam aktiviti sukan, kecergasan dan rekreasi, meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan kehidupan aktif serta menyokong pembangunan industri sukan.






