PUTRAJAYA – Kesemua 861 orang warga Malaysia yang kini berada di negara Rusia berada dalam keadaan selamat pada ketika ini, lapor Astro Awani.
Perkara ini disahkan oleh Kedutaan Besar Malaysia di Moscow menerusi kenyataan Wisma Putra hari ini.
Daripada jumlah tersebut, seramai 784 individu merupakan pelajar, manakala 33 lagi ialah ekspatriat yang bertugas di Rusia.
“Pihak kedutaan juga sentiasa memantau rapi keselamatan dan keberadaan mereka yang direkodkan menetap di pelbagai bandar raya dan lokaliti sekitar negara berkenaan,” katanya.
Tambahnya, pejabat misi diplomatik Malaysia yang terletak di kawasan Mosfilmovskaya Ulitsa turut mempunyai seramai 44 petugas termasuk kakitangan teknikal dan tanggungan mereka.
Pegawai kedutaan berkenaan juga menjelaskan bahawa beliau sering menghubungi warga Malaysia terutama pelajar menerusi badan perwakilan penuntut dan pihak pentadbiran universiti yang terbabit.
Ketika ini, situasi di Rusia masih normal dengan perkhidmatan awam tempatan berlangsung seperti biasa selain keperluan harian mencukupi lagi dan kehidupan rutin pula kekal tenang.
Bagaimanapun, pihak kedutaan ada menerima aduan kes segelintir warga Malaysia berdepan masalah gangguan pemindahan dana elektronik (EFT) dari Malaysia terus ke akaun mereka.
“Isu tersebut sedang diuruskan oleh Bank Pusat Persekutuan Rusia dan ia memberi jaminan bahawa mata wang tempatan, Ruble masih selamat dan boleh diakses,” jelas Wisma Putra.