AirBorneo Lancar Laman Web Baharu Esok, Jualan Tiket Bermula Akhir Disember

AirBorneo Lancar Laman Web Baharu Esok, Jualan Tiket Bermula Akhir Disember

0
SHARE

KUCHING: AirBorneo bersedia memasuki fasa operasi baharu apabila melancarkan laman web serta pusat panggilan rasminya esok (10 Disember), sebagai sebahagian daripada proses pengambilalihan operasi MASwings yang dijadualkan bermula awal tahun depan.

Dalam kenyataan hari ini, syarikat itu memaklumkan bahawa langkah tersebut akan memudahkan urusan pembelian tiket dan penyelarasan perjalanan penumpang sepanjang tempoh peralihan.

Bagi perjalanan pada atau sebelum 13 Januari 2026, penumpang diminta terus membuat pembelian tiket melalui laman web MASwings di www.maswings.com.my.

Manakala bagi perjalanan pada atau selepas 14 Januari 2026, urusan tempahan boleh dibuat melalui laman web baharu AirBorneo di www.airborneo.com, atau menerusi pusat panggilan AirBorneo di talian 1-300-22-1388 (bebas tol) dan +60 82-537 555 untuk pemanggil antarabangsa.

Menurut kenyataan itu, semua tiket dan tempahan MASwings yang sedia ada kekal sah tanpa perubahan jadual penerbangan.

Penumpang yang memiliki tiket MASwings untuk perjalanan bermula 14 Januari 2026 akan dimaklumkan secara individu mengenai pengeluaran semula tiket di bawah jenama AirBorneo.

Maklumat lanjut mengenai proses peralihan dan perkhidmatan pelanggan boleh dirujuk melalui laman web AirBorneo serta pusat panggilannya.