KLANG – Pelawak veteran, Datuk Jamali Shadat, 78, dilaporkan telah menghembuskan nafas terakhirnya pada 8.30 pagi, hari ini.
Berita pemergian itu disahkan sendiri oleh anaknya, Fauzi Jamali, 48, yang memaklumkan bapanya telah meninggal dunia di kediaman mereka di Kampung Sungai Pinang, Pulau Indah Pelabuhan Klang.
Menurut sumber, Allahyarham akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Pulau Indah, Klang.
Terdahulu, keadaan Jamali uzur apabila tidak mampu berjalan dan kurang selera makan selepas amat terkesan dengan kematian isterinya, Lela Yacob akibat serangan angin ahmar pada Jun 2018, sehingga membuatkan dia kemurungan.
Pada zaman Jamali pada 1980-an, pelawak legenda yang sering muncul sebagai pelawak ‘stand up’ ini cukup dikenali dengan kebolehan melakonkan watak kanak-kanak bernama ‘Atan’ bersama Atuknya serta rakan berbilang kaum.