Trend Minuman Kecantikan Dibimbangi Membawa Kepada Maut

Trend Minuman Kecantikan Dibimbangi Membawa Kepada Maut

0
SHARE

PETALING JAYA –Wanita antara golongan dalam masyarakat yang dilihat semakin berisiko selepas trend pengambilan minuman kecantikan sejak kebelakangan ini semakin berlaku yang mana dibimbangi akan memberi kesan jangka panjang kepada aspek kesihatan sehingga boleh membawa maut.

Produk berkenaan yang didakwa sesetengah pihak mampu menambah kecantikan semula jadi selain meningkatkan kecergasan badan turut dijual secara berle­luasa di gerai-gerai jamu tanpa kawalan.

Menurut satu kenyataan yang dipetik Kosmo Online, Pegawai Dietetik Pusat Pe­ngajian Sains Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Ismajuliawati Ismail berkata, rutin harian pengambilan produk kecantikan seperti minuman kolagen sebenarnya boleh membebankan fungsi hati.

Katanya, ia menyebabkan o­rgan penting itu mengalami kecederaan ekoran perlu bekerja keras untuk memproses kolagen berkenaan.

“Kolagen juga akan diuraikan kepada amino asid malah pengambilan secara berlebihan akan menyebabkan kegagalan buah pinggang…

“Sesetengah kolagen turut mengandungi kalsium dan memudaratkan kesihatan khususnya kepada penghidap masalah buah pinggang jika diambil berlebihan,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.

Tinjauan di beberapa kedai jamu di ibu negara juga mendapati banyak produk minuman kecantikan khususnya berasaskan kolagen dijual secara terbuka.

Kandungan kolagen di dalam produk kecantikan didakwa mampu memberikan pelbagai manfaat kepada kulit terma­suklah mencerahkan, menganjal, merawat jerawat, awet muda serta memudarkan parut.

Antara bahan terlarang yang sering digunakan di dalam produk itu termasuklah merkuri, parace­tamol, hydroquinone, sibutramine dan tretinoin.

Katanya, minuman kecantikan juga mengandungi kandungan gula tinggi serta boleh menyebabkan masalah seperti obesiti, ken­cing manis dan jantung jika diminum setiap hari.

“Purata gula untuk satu sajian minuman itu dianggarkan sebanyak 15 hingga 20 gram (kira-kira empat sudu) dan pengambilan kerap menyebabkan terjadi ambilan tenaga berlebihan…

“Tenaga berlebihan itu hasil daripada kandungan gula dan krimer kerana setiap paket mengandungi sehingga 150 hingga 200 kalori. Jika diambil tiga paket sehari, jumlahnya bersamaan 600 kalori,” katanya.

Sementara itu, pegawai perubatan MAA Medicare Sdn. Bhd., Dr. Mohamad Shazli mendedahkan, ada brapa kes pesakit berdepan masalah kegagalan buah pinggang akibat ketaksuban untuk kelihatan cantik.

Menurutnya, ada individu terutamanya golongan muda berusia antara 19 hingga 25 tahun mula mendapatkan rawatan dialisis selepas mengamalkan produk tidak disahkan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Keadaan itu sebenarnya turut dipengaruhi oleh sikap pengguna mudah terpengaruh dengan iklan produk…

“Ada juga produk yang menjadikan artis sebagai duta untuk melariskan jualan,” jelasnya.

Katanya, produk minuman kecantikan diluluskan KKM akan diberikan satu logo hologram 3D sebagai langkah pemantauan terhadap produk berkenaan.

Dalam pada itu, Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menggesa KKM memantau penjualan produk minuman kecantikan bagi mengelakkan kekeliruan.

Timbalan Presidennya, Mohd. Yusof Abdul Rahman berkata, ada sesetengahnya hanya dikelaskan sebagai produk minuman tetapi mendakwa mempunyai pelbagai kelebihan temasuk untuk kecantikan.

“Ini akan menimbulkan kekeliruan pengguna kerana pengasas tidak mahu mengisytiharkannya sebagai produk kecantikan kerana perlu mendapat kelulusan KKM,” katanya.