SMK Tambulion Terima Van Koperasi Sempena Sambutan Jubli Perak

SMK Tambulion Terima Van Koperasi Sempena Sambutan Jubli Perak

0
SHARE
Ewon ketika menyampaikan replika kunci Van Koperasi kepada pihak SMK Tambulion

KOTA BELUD: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tambulion menerima sumbangan Van Koperasi dari Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) sempena Sambutan Jubli Perak sekolah itu pada Isnin.

Majlis penyampaian itu disempurnakan oleh menteri KUSKOP, Datuk Ewon Benedick yang turut berharap agar sumbangan itu dapat membantu meningkatkan lagi perkhidmatan koperasi sekolah berkenaan seterusnya mewujudkan pendapatan baharu koperasi sekolah. 

“Pada tahun 2023, SKM telah meluluskan sebanyak RM270,000 bantuan pembangunan perniagaan kepada tiga buah koperasi di DUN Kadamaian.

“Pada hari ini kita akan menyaksikan penyerahan sebuah Van kepada Koperasi SMK Tambulion melalui Bantuan Sektor Peneraju Ekonomi Koperasi (PROSPEK) bernilai RM140,000 bagi membolehkan koperasi menjalankan aktiviti pengangkutan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Sumbangan Sekolah-Sekolah DUN Kadamaian dan Bantuan Van Koperasi Sempena Jubli Perak 25 Tahun Penubuhan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tambulion, di Dewan Stalion SMK Tambulion, di sini, pada Isnin.

Pada majlis itu, Ewon turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM50,000 daripada peruntukan khas menteri untuk menaiktaraf kemudahan dewan sekolah tersebut, termasuk pendawaian elektrik, perolehan mobile aircond dan kelengkapan lain.

Ewon berkata, kementeriannya menerusi SKM telah melaksanakan pelbagai program sepanjang tahun lepas dan menerima sambutan amat memberangsangkan.

“Melalui program-program yang dijalankan, masyarakat kini menyedari kepentingan berkoperasi dan menjadikan platform koperasi bukan sahaja tempat berniaga dan perkembangan ilmu pengetahuan tetapi diperluaskan sebagai penyatuan dan pembangunan ekonomi masyarakat,” katanya.