KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mengingatkan semua parti politik dan pihak berkaitan agar tidak memasang bendera, poster, gegantung (bunting), sepanduk (banner) atau apa-apa bentuk bahan publisiti pilihan raya tanpa kelulusan di kemudahan awam serta struktur milik DBKK.
Dalam satu kenyataan menerusi Jabatan Pengaduan dan Perhubungan Awam DBKK, DBKK menegaskan bahawa larangan itu meliputi kawasan-kawasan seperti bulatan jalan, simpang jalan, hentian bas, papan tanda arah, tiang lampu, tiang elektrik, tiang nama taman perumahan, bangunan kerajaan, struktur rasmi, kawasan rekreasi, gazebo, pagar serta kawasan landskap termasuk pokok dan kawasan tanaman bunga.
DBKK berkata, larangan ini bertujuan memastikan keselamatan pengguna jalan raya, mengelakkan kerosakan aset awam, serta mengekalkan kebersihan dan keindahan bandar.
Ia juga penting bagi mengelakkan halangan penglihatan kepada papan tanda rasmi yang boleh menjejaskan keselamatan.
Pihak DBKK meminta kerjasama semua pihak agar sebarang bahan kempen yang dipasang di kawasan larangan segera dialihkan bagi mematuhi peraturan sedia ada.






