Kompleks Sukan Tongod Disambung Awal Tahun Depan, Kontraktor Baharu Dilantik – Masiung

Kompleks Sukan Tongod Disambung Awal Tahun Depan, Kontraktor Baharu Dilantik – Masiung

0
SHARE

TONGOD: Kerja-kerja pembinaan Kompleks Sukan Tongod yang tergendala sejak kontraktor asal ditamatkan pada Julai lalu dijangka disambung semula awal tahun hadapan, menurut penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah.

Beliau berkata, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kini berada di peringkat akhir menyiapkan dokumentasi untuk melantik kontraktor baharu bagi menyiapkan projek bernilai RM7 juta itu.

“Kontraktor sebelum ini telah diberi lanjutan masa sebanyak empat kali namun masih gagal mencapai kemajuan fizikal yang memuaskan. Akhirnya, KBS mengeluarkan arahan menamatkan kontrak tersebut,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Jentera Kempen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi Pusat Daerah Mengundi Tongod, semalam.

Mengulas dakwaan pembangkang yang cuba menjadikan isu itu sebagai modal kempen, Masiung menegaskan bahawa kontraktor asal sebenarnya dilantik pada era pentadbiran mereka sendiri.

“Saya tidak persoalkan kroni siapa, tetapi sesiapa pun kontraktornya mesti berdaya maju dan menyiapkan kerja mengikut jadual. Sejak tahun lalu, prestasi fizikal projek ini sangat mengecewakan dan pembangkang pula menyalahkan saya, sedangkan projek itu sudah diserah kepada kontraktor lantikan mereka,” ujarnya.

Menurut beliau, penyelesaian sudah dikenal pasti dan pelantikan kontraktor baharu akan membolehkan kerja pembinaan baki projek — termasuk pembinaan trek, penyambungan elektrik serta air — disempurnakan.

“Saya yakin kompleks sukan ini dapat disiapkan dalam tempoh dua tahun selepas disambung semula awal tahun depan,” katanya.