RASUAH ANAK SAUDARA SHAFIE APDAL: PEMIMPIN WIRA WARISAN DIHUKUM PENJARA 6 TAHUN,...

RASUAH ANAK SAUDARA SHAFIE APDAL: PEMIMPIN WIRA WARISAN DIHUKUM PENJARA 6 TAHUN, DENDA RM8.8 JUTA — IMEJ WARISAN TERUS TERCALAR

0
SHARE
Mohd Saifullah Mohd Hisham ketika tiba bagi keputusan pertuduhan rasuah yang berjumlah RM1.77 juta di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur di sini, hari ini...(Kredit foto: Utusan Malaysia)

KUALA LUMPUR – Seorang pemimpin Wira Warisan Semporna, Mohd Saifullah Mohd Minggu, hari ini (20 Nov 2025) disabitkan bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas lapan pertuduhan rasuah melibatkan jumlah keseluruhan RM1.77 juta.

Hukuman tersebut sekaligus terus mencalarkan imej Parti Warisan Sabah yang sebelum ini mendakwa memperjuangkan integriti dan ketelusan.

Saifullah, yang dilaporkan merupakan anak saudara Presiden Warisan, Shafie Apdal, dilihat tidak mampu menahan sebak apabila keputusan dibacakan di mahkamah, dengan air mata mengalir saat semua pertuduhan disabitkan.

Mahkamah: Kes Pendakwaan Kukuh, Pembelaan Gagal Bangkitkan Keraguan;

Hakim Suzana Hussin menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM8.8 juta selepas meneliti hujahan kedua-dua pihak dan membuat penilaian menyeluruh terhadap semua keterangan saksi sepanjang perbicaraan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Jika Saifullah gagal membayar denda tersebut, beliau bakal berdepan tujuh tahun penjara tambahan.

Menurut penghakiman, pembelaan gagal mematahkan anggapan rasuah, dan mahkamah berpuas hati bahawa pendakwaan berjaya membuktikan kes tanpa sebarang keraguan munasabah.

Tender Tourism Malaysia & Suapan Jutaan Ringgit;

Sabitannya berkait rapat dengan dakwaan menerima suapan sebagai dorongan untuk membantu beberapa syarikat mendapatkan tender projek pengiklanan Tourism Malaysia. Peristiwa itu berlaku di beberapa lokasi termasuk Pavilion, PWTC, pejabat kementerian dan beberapa lokasi lain sekitar Lembah Klang antara Disember 2018 hingga Mac 2019.

Ketika kejadian, Saifullah berkhidmat sebagai Setiausaha Sulit Kanan kepada Datuk Mohamaddin Ketapi, menteri dalam pentadbiran kerajaan Warisan.

Kontradiksi dengan Janji Anti-Rasuah Warisan;

Hanya sehari sebelum keputusan ini, pada 19 November, Shafie Apdal membuat kenyataan bahawa Warisan akan “menghapuskan rasuah” jika menang PRN17.

Namun sabitan ke atas anak saudaranya sendiri menimbulkan gelombang besar persoalan dalam kalangan rakyat Sabah — lebih-lebih lagi apabila Shafie juga pernah direman SPRM dalam siasatan salah guna RM1.5 bilion peruntukan luar bandar ketika mengetuai KKLW.

Kesan terhadap Politik Warisan;

Sabitan terhadap Saifullah sekaligus menimbulkan persoalan mengenai budaya integriti dalam parti tersebut. Rakyat Sabah kini melihat kes ini sebagai refleksi kepada isu lebih besar dalam pentadbiran Warisan ketika mereka berkuasa.

Jika pemimpin muda yang paling hampir dengan kepimpinan pun terpalit rasuah jutaan ringgit, apa lagi yang berlaku di balik tabir era pentadbiran Warisan?

SabahNews akan terus membuat liputan mengenai proses rayuan dan apa-apa perkembangan lanjut.