NTF Tingkatkan Kawalan Sempadan Negara Ekoran Pelarian Rohingnya Di Acheh Timur Dikesan

NTF Tingkatkan Kawalan Sempadan Negara Ekoran Pelarian Rohingnya Di Acheh Timur Dikesan

0
SHARE

KUALA LUMPUR – National Task Force (NTF) akan meningkatkan kesiagaan dan pemantauan sebarang cubaan kemasukan Pendatang Tanpa Izin (PTI) berikutan laporan 81 orang pelarian etnik Rohingya yang dikesan di sekitar pesisir pantai Kuala Simpang Ulim, Acheh Timur, Indonesia kelmarin.

Bahagian Komunikasi Strategik NTF hari ini berkata melalui Operasi BENTENG berkata aset-aset maritim berdekatan perairan antarabangsa akan diaturgerak.

“Ini termasuk pemantauan radar dan aset udara bagi mengesan sebarang pergerakan botbot yang mencurigakan dari exit point Tanjung Balai, Medan dan Dumai ke titik-titik pendaratan haram serta lorong tikus di sepanjang Pantai Barat Semenanjung,” katanya.

Menurut laporan tersebut, kumpulan pelarian Rohingya berkenaan terdiri daripada 70 orang dewasa dan 11 orang kanak-kanak yang telah berjaya mendarat pada malam atau awal pagi Khamis.

Pada asalnya kumpulan tersebut berjumlah 90 orang namun lapan (8) orang telah meninggal dunia dan seorang hilang di laut.

Terdahulu, NTF telah menerima dua laporan pergerakan bot dan motherboat Rohingya berlepas daripada Kem Cox’s Bazar, Bangladesh pada Februari dan April 2021 lalu dan memantau rapat sebarang pengumpulan maklumat berkaitan

“Berdasarkan analisis dan risikan semasa, NTF percaya terdapat percanggahan maklumat setelah dibuat penilaian pendaratan terbaharu ini dengan fakta, sejarah dan modus operandi sindiket penyeludupan migran Rohingya ke perairan Malaysia-Indonesia…

“Merujuk kembali kepada kes pendaratan Rohingya pada tahun 2019 – 2020, Etnik Rohingya dibawa secara runcit ke Malaysia menggunakan bot-bot nelayan yang dipercayai menerima upah dari sindiket untuk membawa masuk pelarian dari sebuah bot besar di perairan antarabangsa.

“Sehubungan itu, hasil maklumat risikan NTF mempercayai pendaratan ini juga menggunakan modus operandi yang hampir sama dan masih terdapat sebuah kapal induk yang berada di perairan antarabangsa yang berkemungkinan telah melepaskan sebahagian Rohingya untuk mendarat di Acheh Timur dan bakinya masih menunggu masa untuk dibawa mendarat ke 2 Malaysia,” kata sumber.

Pendaratan di Acheh Timur dilihat sebagai salah satu taktik alih mata yang dilakukan oleh sindiket bagi mengaburi pergerakan memasuki Malaysia secara runcit menggunakan bot nelayan tempatan atau asing tanpa dikesan pihak berkuasa.

“NTF juga berpendapat bahawa keadaan susuk tubuh pelarian yang kelihatan sihat dan segar semasa ditemui penduduk setempat dipercayai menerima bekalan dan bantuan sindiket dari atas kapal induk selain mempunyai akses telefon bimbit persendirian menunjukkan bahawa mereka dijaga baik sebelum mendarat ke destinasi yang dipilih…

“Maklumat oleh mangsa yang mengatakan bot pelarian Rohingya ini telah ‘ditolak’ untuk memasuki perairan Malaysia adalah tidak benar memandangkan tiada sebarang pertemuan berlaku di antara pihak berkuasa Malaysia dengan bot tersebut menyangkal maklumat yang diberi oleh pihak mangsa,” tambahnya.