KUALA LUMPUR: Legenda muzik tanah air, KRU, sekali lagi mencipta sejarah apabila bakal menganjurkan konsert kelima mereka dalam setahun, menerusi “genKRU The Finale: One More Time” yang dijadual berlangsung di Stadium Hoki Bukit Jalil pada 22 November 2025, jam 8.30 malam.
Konsert anjuran ICON Entertainment ini hadir selepas kejayaan luar biasa empat siri konsert terdahulu di Axiata Arena Bukit Jalil, yang mencatat dua rekod Malaysia Book of Records (MBR): “Most Show in a Single Concert Series” dan “Most Concert Tickets Sold Out in an Hour”.
“Permintaan untuk menyaksikan KRU beraksi di pentas sangat tinggi. Sejak penganjuran Mei lalu, kami terus didesak peminat untuk membawa mereka kembali. Ini bukti industri hiburan tempatan semakin rancak dan mengikut trend global,” kata penganjur, Iman Tang.
Norman Abdul Halim yang mewakili KRU menyifatkan penganjuran kelima ini sebagai tanda positif terhadap sokongan padu peminat.
“Kami tidak pernah terfikir akan ada konsert kedua, ketiga, apatah lagi kelima. Ini bukti pemuzik lokal bukan anak tiri dan kita sendiri menjadi gamechangers industri,” ujarnya.
Antara kategori tiket yang ada termasuklah, Mengerti – RM188; Awas – RM228; The Way We Jam – RM238;Apa Saja – RM268; Ohh La La! – RM318; Fanatik – RM358; Remaja Selamanya – RM488; dan Terhangat di Pasaran – RM558
Konsert ini turut mendapat sokongan penaja utama Etiqa, pengangkutan rasmi DTC, radio rasmi Era, Sinar, Gegar dan Zayan, serta rakan digital rasmi Astro Gempak.
Dengan sambutan luar biasa sebelum ini, genKRU The Finale: One More Time dijangka menjadi penutup tahun yang paling bersejarah buat peminat muzik tempatan.






