KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) menegaskan pendirian tegasnya untuk tidak berkompromi terhadap sebarang bentuk budaya buli di kampus, sama ada melibatkan fizikal, mental, emosi mahupun di alam maya.
Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata, pihak universiti sentiasa memandang serius isu tersebut kerana ia boleh mengancam keselamatan dan keharmonian komuniti kampus, selain memberi kesan negatif kepada kesejahteraan pelajar.
“Setiap mahasiswa perlu memahami bahawa kebebasan yang dinikmati di universiti datang bersama tanggungjawab untuk saling menghormati dan menyokong antara satu sama lain.
“UMS tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk budaya buli. Jika berlaku, laporkan segera kerana universiti ini adalah tempat selamat untuk pelajar belajar dan berkembang,” tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan aluan sempena Majlis Pembukaan Minggu Suai Mesra (MSM) Pelajar Baharu Sesi 2025/2026 yang diadakan di Dewan Canselor UMS, di sini, semalam.
Dalam ucapannya, Prof. Kasim turut menekankan bahawa budaya buli tidak seharusnya wujud dalam kalangan mahasiswa yang sepatutnya menumpukan perhatian kepada pencapaian akademik, pembangunan diri dan pembentukan sahsiah sebagai insan berilmu dan berakhlak mulia.
“Ingatlah, anda datang ke sini bukan untuk menjatuhkan rakan, tetapi untuk sama-sama bangkit menuju kejayaan,” katanya disambut tepukan para pelajar baharu.
Dalam pada itu, Prof. Kasim memberi jaminan bahawa pihak universiti sentiasa peka terhadap kebajikan pelajar, termasuk isu kemudahan asas seperti bekalan air di kolej kediaman.
“Sebarang isu berkaitan prasarana akan ditangani dengan segera bagi memastikan mahasiswa dapat menumpukan sepenuhnya kepada pengajian tanpa terganggu oleh perkara asas,” ujarnya.
Beliau turut berkongsi bahawa UMS mencatatkan kadar kebolehpasaran graduan sebanyak 94.7 peratus bagi tahun 2024, dengan 93.9 peratus daripada graduan berjaya memperoleh pekerjaan selepas tamat pengajian, bukti komitmen UMS melahirkan graduan berkualiti dan berdaya saing.
Sesi akademik 2025/2026 menyaksikan seramai 5,123 pelajar baharu diterima masuk ke UMS, menjadikan mereka sebahagian daripada komuniti besar universiti yang telah melahirkan lebih 91,000 graduan sejak 1994.
UMS kini terus memperkukuh peranannya sebagai institusi pendidikan tinggi utama di Borneo, bukan sahaja dalam bidang akademik dan penyelidikan, tetapi juga dalam membentuk persekitaran kampus yang selamat, inklusif dan harmoni.






