KUALA LUMPUR: Dua kugiran legenda rantau Nusantara, Nidji dari Indonesia dan Bunkface dari Malaysia, bakal berpadu tenaga dalam sebuah konsert istimewa hujung tahun ini menerusi “Nusa Fest Presents – Nidji x Bunkface” yang akan berlangsung di Megastar Arena Kuala Lumpur pada 21 Disember 2025.
Acara anjuran Shiraz Projects ini dijangka menjadi antara konsert paling energetik dan bersejarah tahun ini, menyatukan peminat muzik Malaysia dan Indonesia di bawah satu bumbung dalam satu persembahan eksklusif yang jarang berlaku.
Menurut Penerbit Eksekutif Shiraz Projects, Shirazdeen Karim, pemilihan kedua-dua kumpulan ini dibuat kerana reputasi dan tenaga luar biasa yang mereka bawa setiap kali naik ke pentas.
“Energi yang dibawa Nidji sentiasa ‘besar’, membuatkan kami teruja untuk melamar mereka berkolaborasi dengan Bunkface. Sebagai kugiran Malaysia yang sudah terbukti kredibilitinya, Bunkface menjadi pilihan tepat untuk persembahan ini,” katanya.
Konsert ini bukan sekadar persembahan muzik biasa, sebaliknya simbol sinergi erat antara dua negara jiran melalui seni dan budaya popular.
Vokalis Bunkface, Sam, menyifatkan penyertaan kumpulannya sebagai peluang mencipta momen berharga bersama peminat setia.
“Nusa Fest Presents, Nidji x Bunkface bukan sekadar naik pentas buat persembahan, tetapi akan menjadi momen paling berharga buat peminat kami,” katanya.
Sementara itu, vokalis Nidji, Ubay, menyatakan rasa terhormat dapat berkongsi pentas secara eksklusif bersama Bunkface.
“Kami pernah bermain dalam festival yang sama sebelum ini, tetapi sepanggung berdua adalah sesuatu yang sangat istimewa. Kami akan berikan yang terbaik untuk para peminat,” ujarnya.
Walaupun hanya menampilkan dua kugiran utama, konsert ini dijangka mencipta momen epik dengan lagu-lagu popular seperti Cinta dan Sumpah Matiku (Nidji) dan Malam Ini Kita Punya (Bunkface) yang bakal menghangatkan suasana Megastar Arena.
Penganjur menjangkakan sambutan hangat daripada peminat kerana kolaborasi dua nama besar ini merupakan yang pertama seumpamanya di Malaysia.
Tiket akan mula dijual pada 2 Oktober 2025, bermula jam 10 pagi menerusi www.ticket2u.com.my.
Tiga kategori tiket ditawarkan termasuk, Rockzone (Standing) – RM228; Diamond (Seated) – RM198; dan Platinum (Seated) – RM168
Maklumat lanjut boleh diperoleh melalui talian hotline 012-256 0082, laman web www.shirazprojects.com, serta laman sosial rasmi Shiraz Projects di Facebook dan Instagram.
Konsert Nusa Fest Presents Nidji x Bunkface bukan sekadar sebuah persembahan, tetapi satu pertemuan budaya muzik serantau yang dijangka mencipta sejarah.
Gabungan dua kugiran ikonik ini dijangka menjadi penutup tahun paling meriah dan berenergi tinggi buat peminat muzik Malaysia dan Indonesia.






