MATUNGGONG, SABAH – Para pelajar yang akan memasuki IPTA tahun pertama dinasihatkan agar mereka bertanggungjawab atas kebebasan dan masa yang ada di tangan mereka demi masa depan sendiri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Matunggong, Datuk Julita Majungki menyeru para golongan pelajar ini agar belajar bergaul dan memilih kawan serta komuniti yang boleh mendorong mereka ke arah membentuk sikap yang baik.
“Bermulalah dengan baik di tahun satu supaya senang untuk mengekalkan kecemerlangan sehingga selesai pengajian,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Program bersama pelajar IPTA DUN Matunggong sesi akademik 2022/2023: penyampaian insentif kepada pelajar STPM 2021 di Dewan Terbuka Matunggong, Jumaat lepas.
Program kali ini melibatkan seramai 70 orang pelajar dari dua buah sekolah di Matunggong yang menawarkan kelas Tingkatan Enam iaitu SMK Sikiati II dan SMK Pinawantai.
Kata beliau, program pemberian insentif kewangan ini dilaksanakan di bawah Teras 1 Sasaran Keutamaan Adun Matunggong iaitu memperkasa pencapaian pendidikan anak-anak Matunggong.
Julita yang juga merupakan Pembantu Menteri Kewangan 1 berkata, program tersebut merupakan siri ke-3 sejak ianya mula dilaksanakan bagi pelajar SPM dan STPM sejak 2020 (bagi pelajar SPM/STPM 2019).
“Kita berharap dengan adanya program ini, kita dapat memberi dorongan kepada pelajar untuk belajar lebih bersungguh-sungguh. Khusus bagi pelajar STPM.
“Program pada tahun sebelum ini juga telah memberi manfaat kepada lebih 60 pelajar di DUN Matunggong yang berjaya memasuki IPTA.
“Justeru, suka saya ingatkan tentang kata-kata hikmat daripada negarawan terbilang Nelson Mandela yang menyebut bahawa pendidikan adalah senjata yang paling berkuasa (berkesan) untuk mengubah dunia (komuniti),” katanya.
Menurut Julita, usaha yang dilakukan ini hanyalah semata-mata untuk menjadi pelengkap kepada usaha pelajar itu sendiri, ibubapa dan guru-guru yang sememangnya bertungkus lumus untuk menghasilkan pelajar cemerlang setiap tahun.