Pengamal Media Tempatan Nikmati Diskaun 50 peratus Tiket Penerbangan ASEAN – Fahmi...

Pengamal Media Tempatan Nikmati Diskaun 50 peratus Tiket Penerbangan ASEAN – Fahmi Fadzil

0
SHARE

PUTRAJAYA: Pengamal media tempatan yang memiliki Kad Perakuan Media daripada Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) bakal menikmati diskaun sebanyak 50 peratus secara one-off bagi pembelian tiket penerbangan pergi balik ke 57 destinasi dalam negara anggota ASEAN.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, inisiatif ini merupakan hasil kerjasama strategik antara Kementerian Komunikasi dan syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia bersempena Kepengerusian ASEAN 2025 oleh Malaysia.

“Langkah ini adalah tanda penghargaan kepada pengamal media yang memainkan peranan penting dalam menyampaikan maklumat sahih dan memperkukuh pemahaman rakyat terhadap dasar-dasar negara serta isu serantau,” ujar beliau dalam sidang media di sini, semalam.

Diskaun khas itu ditawarkan sekali sahaja (one-off) dan terbuka kepada semua pemegang Kad Perakuan Media JaPen yang sah, sebagai insentif kepada sumbangan mereka dalam mempromosikan kerjasama dan integrasi ASEAN melalui liputan media.

Dengan kemudahan diskaun ini, pengamal media tempatan dijangka dapat memperluas liputan berita serta pendedahan kepada pembangunan dan isu semasa di negara-negara jiran, sekaligus memperkukuh naratif Malaysia sebagai peneraju komunikasi serantau sepanjang tahun Kepengerusian ASEAN 2025.

Fahmi turut menjelaskan bahawa butiran lanjut mengenai mekanisme penebusan diskaun, termasuk tempoh dan syarat pembelian, akan diumumkan oleh pihak kementerian dalam masa terdekat.

“Kita mahu pastikan media Malaysia terus menjadi pemain penting dalam membawa suara serantau ke pentas antarabangsa,” katanya.

Inisiatif ini turut disambut baik oleh komuniti media yang melihatnya sebagai pengiktirafan terhadap profesion wartawan serta peluang untuk memperkasa jaringan serantau melalui pelaporan langsung dari lapangan ASEAN.