Kotak ikan berinsulansi diperkenal di Pasar Borong KL

Kotak ikan berinsulansi diperkenal di Pasar Borong KL

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Penggunaan kotak ikan berinsulansi (KIB) yang lebih mesra alam diperkenalkan di Kompleks Pasar Borong Kuala Lumpur bagi menggantikan penggunaan kotak polisterin sekali guna.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, inisiatif itu dilaksanakan hasil kerjasama Persatuan Pemborong dan Operator Pasar Borong Kuala Lumpur bersama Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur (DBKL).

Beliau berkata, ia adalah penggunaan pertama seumpama itu di negara ini dengan kos penyewaan kotak berkenaan setara dengan harga kotak polisterin yang digunakan ketika ini.

“Ini kali pertama di Malaysia kita menggunakan kotak ini dan harga penyewaan penggunaannya sama dengan harga kotak polisterin di pasaran,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perasmian Transformasi Penggunaan Kotak Ikan Berinsulansi di Kompleks Pasar Borong Kuala Lumpur, hari ini.

Hannah berkata, penggunaan KIB bukan sahaja lebih mesra alam, malah mampu membantu mengurangkan masalah pelupusan sisa polisterin yang dihadapi pihak SWCorp setiap hari.

Katanya, kotak berkenaan mampu bertahan sehingga 48 jam selain dapat meningkatkan aspek keselamatan pengedaran ikan di pasaran serta menjimatkan kos peniaga.

“Ia boleh bertahan lebih kurang 48 jam dan melalui sistem penyewaan ini, tidak akan ada lagi kotak polisterin dibuang merata-rata.

“Oleh sebab itu ada dorongan dan insentif untuk peniaga menggunakan sistem penyewaan ini kerana mereka tidak perlu risau mengenai pelupusan kotak,” katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan projek rintis itu akan dipantau terlebih dahulu bagi memastikan ia berjalan lancar sebelum diperluaskan ke pasar borong lain di seluruh negara.

“Kita kena pastikan projek perintis seperti ini berjalan dengan lancar dahulu dan yang paling penting adalah kos kepada peniaga.

“Peniaga akan melihat imbangan kewangan mereka setiap hari, jadi aspek kos amat penting kepada mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Hannah berkata, DBKL turut membantu peniaga dengan mengurangkan kadar sewa tapak lesen sebanyak 50 peratus sehingga tahun depan.

Katanya, langkah itu bukan sahaja memberi manfaat kepada peniaga, malah membantu SWCorp mengurangkan kos pembersihan.

“Mungkin kita tidak dapat melihat manfaatnya hari ini, tetapi saya yakin penggunaan kotak yang boleh dikitar semula seperti ini akan membantu mengurangkan kos kepada semua pihak.

“Sama seperti penggunaan beg plastik, apabila kita mahu mengubah gaya hidup masyarakat, kita perlu mulakan secara perlahan sebelum melaksanakan larangan sepenuhnya,” katanya.

Transformasi penggunaan KIB membabitkan peralihan secara berperingkat daripada penggunaan kotak polisterin kepada kotak ikan berinsulansi yang lebih selamat, tahan lama dan mesra alam.

Inisiatif berkenaan dilihat mampu mengurangkan pencemaran mikroplastik dan sisa pepejal selain meningkatkan tahap keselamatan makanan serta kecekapan operasi dalam pengendalian hasil makanan.