Tengku Mahkota Pahang Tiba di Sabah Sertai Ekspedisi Mahkota Borneo

Tengku Mahkota Pahang Tiba di Sabah Sertai Ekspedisi Mahkota Borneo

0
SHARE

KOTA KINABALU: Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu kira-kira jam 1.20 petang hari ini bagi menghadiri Ekspedisi Mahkota Borneo di Sabah.

Keberangkatan tiba baginda disambut Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan bersama kenamaan lain.

Sejurus tiba, baginda dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu sebelum meneruskan perjalanan ke Kundasang.

Menariknya, sepanjang ekspedisi berkenaan, baginda turut memandu sendiri kenderaan pacuan empat roda yang digunakan dalam konvoi ekspedisi tersebut.

Dalam ekspedisi itu, Tengku Hassanal turut dijadual mendaki Gunung Kinabalu pada Selasa dengan diiringi pegawai serta anggota Pasukan Khas Tentera Udara Diraja Malaysia (PASKAU), selain pengiring rapat daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).