KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menegaskan pendiriannya bahawa mana-mana ahli parti yang bertanding sebagai calon Bebas dalam Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Sabah (DUN) 2025 akan dipecat serta-merta daripada parti.
Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan Setiausaha Agung Gagasan Rakyat, Datuk Mohamed Razali Razi, beliau menyatakan tindakan bertanding atas tiket Bebas adalah satu perbuatan yang bertentangan dengan ketetapan dan dasar parti sebagai komponen dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Menurutnya yang juga merupakan Setiausaha Eksekutif GRS, mana-mana individu yang memilih untuk bertanding di luar payung GRS tidak lagi mempunyai kaitan dengan parti, walaupun sebelum ini pernah memegang jawatan atau merupakan ahli Gagasan Rakyat.
Langkah ini, katanya, perlu dilaksanakan demi menjaga disiplin, keselarasan hala tuju politik dan komitmen parti terhadap gabungan kerajaan negeri.
Sehubungan itu, Gagasan Rakyat mengesahkan pihak parti telah membuat keputusan untuk memecat serta-merta mana-mana ahli yang melanggar ketetapan berkenaan.
Tindakan tegas ini, menurut Razali yang juga calon GRS bagi kawasan DUN Darau, penting bagi memastikan barisan calon GRS kekal kukuh, tersusun dan bebas daripada sebarang unsur yang boleh menjejaskan kekuatan gabungan menjelang PRU Sabah ke-17.
Dalam masa yang sama, Gagasan Rakyat menyeru semua ahli, penyokong serta jentera parti untuk terus bersatu dan memberi tumpuan penuh terhadap persiapan menghadapi pilihan raya.
Parti itu turut mengingatkan agar seluruh jentera bekerja rapat untuk memastikan kemenangan calon-calon GRS demi masa depan dan kepentingan rakyat Sabah.
Kenyataan tersebut turut menegaskan bahawa fokus utama Gagasan Rakyat adalah memastikan kestabilan politik negeri terus terpelihara melalui mandat rakyat yang jelas kepada gabungan pemerintah.






