Kekeliruan Tamat: PBS Tambunan Sahkan Sokongan Kepada Victor, Calon GRS

Kekeliruan Tamat: PBS Tambunan Sahkan Sokongan Kepada Victor, Calon GRS

0
SHARE

TAMBUNAN: Semua kekeliruan berhubung pendirian Parti Bersatu Sabah (PBS) Bahagian Tambunan terjawab hari ini apabila Ketua Bahagiannya, Datuk Daniel Kinsik, mengesahkan sokongan rasmi parti kepada calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tambunan, Datuk Victor P. Paut.

Dalam pertemuan khas bersama kepimpinan GRS Tambunan, Daniel menjelaskan bahawa kenyataan sebelum ini oleh Naib Ketua Bahagian PBS Tambunan dibuat tanpa mandat rasmi parti. 

Beliau menegaskan bahawa PBS Tambunan kekal bersama GRS dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) DU Sabah ke-17.

Menurut beliau, lebih 3,000 ahli PBS Tambunan turut menyatakan sokongan penuh kepada calon GRS tersebut, sekali gus memperlihatkan kesepakatan jentera di peringkat akar umbi.

“PBS Tambunan akan menggerakkan seluruh kekuatan jentera untuk memastikan kemenangan calon GRS di Tambunan,” katanya.

Turut hadir dalam sesi pertemuan itu ialah wakil calon, Mohd Hajjaz Iqbal, serta barisan kepimpinan tempatan termasuk Timbalan Ketua Bahagian PBS, Silverius Bruno; Naib Ketua Bahagian PBS, Zainal Rashid; dan wakil Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Tambunan, Daniel serta Romanus.

Mesyuarat berkenaan turut menetapkan kerjasama erat antara jentera PBS dan GRS Tambunan dalam semua aspek kempen, termasuk mobilisasi akar umbi dan penyelarasan strategi menjelang hari pengundian.

Dengan gabungan kekuatan lebih 20,000 penyokong terdiri daripada 17,000 ahli Gagasan Rakyat Tambunan dan 3,000 ahli PBS Tambunan, keyakinan terhadap prestasi calon GRS di Tambunan berada pada tahap tinggi, menandakan kesatuan yang kukuh menjelang PRU DU Sabah ke-17.