KOTA KINABALU: Dua calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) iaitu Datuk Mohamed Razali Razi (DUN Darau) dan Datuk Arshad Idris (DUN Karambunai) hadir seawal pagi tadi di Dewan Maksak Likas bagi menyerahkan borang pencalonan.
Razali tiba sekitar jam 8.12 pagi bersama pencadang dan penyokong, manakala Arshad tiba kira-kira jam 8.42 pagi.
Sebaik sahaja tempoh penyerahan borang dibuka, Razali menjadi antara yang terawal menyerahkan borang pencalonan pada jam 9.08 pagi.
Arshad menyusul tidak lama kemudian pada jam 9.30 pagi.
Proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah ke-17 (PRU DU Sabah ke-17) berlangsung lancar pagi ini, dengan melibatkan tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Sepanggar — Darau, Karambunai dan Inanam.
Setakat laporan ini diterbitkan, proses semakan borang sedang dijalankan sehingga jam 11 pagi sebelum pengesahan rasmi dibuat oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Ts Anidah Hartini Ag Said.
Proses berjalan tertib tanpa sebarang insiden, menandakan permulaan positif bagi pertandingan di tiga kerusi penting Sepanggar.






