‘Brave’ Jadi Wira Baharu K9 JBPM, RM2.4 Juta Peruntukan Dilulus Tambah Anjing...

‘Brave’ Jadi Wira Baharu K9 JBPM, RM2.4 Juta Peruntukan Dilulus Tambah Anjing Pengesan

0
SHARE

JOHOR BAHRU: Unit Anjing Pengesan K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima suntikan semangat baharu apabila seekor anak anjing baka Labrador yang dinamakan “Brave” diperkenalkan sebagai bakal wira berkaki empat dalam operasi penyelamatan negara.

Menurut laporan BERNAMA, anak anjing jantan itu dilahirkan pada 18 Mac lalu oleh anjing K9 JBPM bernama Lottie yang berada di bawah seliaan Pegawai Bomba, Kavin Raj Nagaselvan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, nama “Brave” dipilih dengan harapan anak anjing berkenaan membesar menjadi anggota K9 yang berani dan cekap dalam menjalankan tugas menyelamat.

“Saya menamakan anak anjing yang baru dilahirkan ini sebagai ‘Brave’ dengan harapan bakal menjadi wira berkaki empat yang berani dan gagah dalam menjalankan tugas penyelamatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Karnival Hari Anggota Bomba Sedunia 2026 bertemakan “Bomba Tonggak Penyelamatan Negara” di Plaza Angsana, baru-baru ini.

Nga berkata, ketika ini JBPM hanya memiliki 34 ekor anjing pengesan dan masih memerlukan tambahan 56 ekor lagi bagi mencapai kapasiti operasi optimum di seluruh negara.

Sehubungan itu, katanya, Kerajaan MADANI telah meluluskan peruntukan RM2.4 juta untuk memperoleh 16 ekor anjing pengesan baharu dari United Kingdom bagi memperkukuh keupayaan operasi unit K9 JBPM.

Dalam masa sama, beliau berkata, JBPM turut merancang membangunkan Pusat Operasi K9 di Bertam sebagai langkah strategik jangka panjang termasuk melaksanakan program pembiakan domestik.

Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2026 yang berlangsung selama dua hari itu turut diadakan sempena Sambutan Jubli Emas 50 tahun penyatuan JBPM.

Acara berkenaan dimeriahkan dengan pertunjukan kawad kaki Detasmen Statik membabitkan 550 peserta serta 50 jentera dan kenderaan bomba, termasuk koleksi milik Sultan Ibrahim.