Lelaki Parah Dalam Kemalangan Babit Tiga Kenderaan di Beluran

Lelaki Parah Dalam Kemalangan Babit Tiga Kenderaan di Beluran

0
SHARE

BELURAN: Seorang lelaki dewasa cedera parah dalam kemalangan jalan raya membabitkan tiga kenderaan di Kampung Jaya Bakti, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.01 pagi itu, kemalangan melibatkan dua buah Perodua Bezza dan sebuah Proton dengan keseluruhan 10 mangsa terlibat.

Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran, PKPgB Edoen Macheal berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS999 sebelum enam anggota bersama jentera CFRT digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 25 kilometer dari balai.

“Setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan dengan seorang lelaki dewasa mengalami kecederaan parah.

Turut cedera ialah seorang lelaki dewasa dan lima wanita dewasa, manakala dua kanak-kanak dilaporkan selamat tanpa mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, Perodua Bezza merah dinaiki tiga wanita dewasa yang semuanya mengalami kecederaan.

Katanya, sebuah lagi Perodua Bezza berwarna biru pula membawa enam mangsa terdiri daripada dua lelaki dewasa, dua wanita dewasa serta dua kanak-kanak.

“Seorang lelaki dalam kenderaan itu cedera parah, manakala seorang lagi lelaki dan dua wanita hanya mengalami kecederaan ringan.

“Dua kanak-kanak iaitu seorang kanak-kanak perempuan dan seorang kanak-kanak lelaki tidak mengalami kecederaan,” katanya.

Beliau berkata, sebuah Proton yang dipandu seorang lelaki dewasa turut terbabit dalam kemalangan itu, namun mangsa dilaporkan tidak mengalami kecederaan.

Katanya, pasukan bomba menjalankan tindakan awal dengan mengawal keadaan di lokasi kejadian serta membantu mangsa sebelum semuanya diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut.

“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.33 pagi selepas memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian,” katanya.

Turut berada di lokasi ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan KKM bagi membantu operasi menyelamat dan pengurusan mangsa.