KOTA KINABALU: Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman menyeru bakal jemaah haji negeri ini agar menunaikan ibadah dengan penuh keikhlasan, disiplin dan menjaga nama baik negara sepanjang berada di Tanah Suci.
Beliau berkata, peluang menunaikan haji merupakan nikmat besar yang mencerminkan kesungguhan, kesabaran serta amalan menabung secara konsisten dalam kalangan jemaah.
“Ibadah haji bukan sekadar perjalanan fizikal, tetapi perjalanan rohani yang menuntut pengorbanan dan keinsafan,” katanya sempena majlis mengucapkan selamat berangkat kepada jemaah haji Sabah bagi musim 1447H/2026M.
Beliau turut mengingatkan jemaah supaya menjaga kesihatan, mematuhi peraturan serta memberi kerjasama kepada petugas haji sepanjang perjalanan.
Musa turut merakamkan penghargaan kepada Lembaga Tabung Haji atas pengurusan haji yang cemerlang dan menjadi contoh di peringkat antarabangsa.
Dalam pada itu, beliau berharap jemaah mendoakan kesejahteraan Sabah dan Malaysia agar terus aman, makmur dan bersatu padu.
Beliau juga mendoakan agar semua jemaah memperoleh haji mabrur dan pulang ke tanah air dengan selamat serta membawa keberkatan kepada keluarga dan masyarakat.






