KOTA KINABALU: Jabatan Tanah dan Ukur Sabah menegaskan bahawa tiada lesen mencarigali dikeluarkan kepada syarikat Bumi Suria Sdn Bhd di bawah Ordinan Perlombongan Sabah 1960.
Pengarahnya merangkap Ketua Pegawai Mineral Negeri, Datuk Sr Bernard Liew Chau Min, berkata nama syarikat itu tidak tersenarai dalam sebarang kelulusan rasmi berkaitan perlombongan di Sabah.
“Sebarang dakwaan atau promosi yang memberi gambaran sebaliknya adalah tidak berasas dan boleh mengelirukan orang ramai,” katanya dalam kenyataan media, semalam.
Beliau menegaskan bahawa di bawah Seksyen 6 dan 8 ordinan tersebut, sebarang aktiviti mencarigali mineral hanya boleh dijalankan dengan lesen sah yang tertakluk kepada syarat teknikal dan perundangan yang ditetapkan pihak berkuasa perlombongan negeri.
Jabatan turut memberi amaran bahawa sebarang aktiviti penerokaan tanpa kebenaran adalah menyalahi undang-undang dan boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan.






