Hasrat Ayah Cari Barang Keperluan Sekolah Tidak Kesampaian, Maut Dilanggar Pemandu Mabuk...

Hasrat Ayah Cari Barang Keperluan Sekolah Tidak Kesampaian, Maut Dilanggar Pemandu Mabuk dan Positif Dadah

0
SHARE

KLANG: Hasrat seorang bapa keluar mencari barang keperluan sekolah anaknya tidak kesampaian apabila maut dalam satu kemalangan jalan raya di Jalan Raya Barat, di sini, semalam, selepas dirempuh pemandu yang didapati di bawah pengaruh alkohol dan dadah.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.40 pagi itu, mangsa lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an menunggang motosikal sebelum dilanggar sebuah kereta jenis Honda City yang dipandu lelaki tempatan berusia 20-an.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, ACP Lim Jit Huey berkata, siasatan awal mendapati kenderaan terbabit dipandu secara laju dan berbahaya dari arah Jalan Raya Barat menghala ke Bandar Klang.

“Pemandu dipercayai telah memotong beberapa kenderaan di hadapan sebelum memasuki laluan bertentangan dan melanggar motosikal mangsa yang datang dari arah bertentangan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, akibat pelanggaran itu, mangsa tercampak ke atas sebuah lagi kenderaan jenis Perodua Myvi sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Hasil ujian saringan mendapati pemandu kenderaan berkenaan positif alkohol dan dadah. Suspek telah ditahan bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara antara 10 hingga 15 tahun serta denda antara RM50,000 hingga RM100,000 jika sabit kesalahan, selain lesen memandu boleh digantung serta-merta.

Katanya, kes turut disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan denda sehingga RM5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun serta pengawasan antara dua hingga tiga tahun.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat.

“Polis menegaskan bahawa pemanduan di bawah pengaruh alkohol atau dadah adalah satu kesalahan serius yang membahayakan keselamatan diri dan pengguna jalan raya lain. Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya dan memandu secara berhemah,” katanya.