KINABATANGAN, SABAH – Seorang lelaki warga Filipina yang ditahan atas kesalahan dadah, melarikan diri ketika menerima rawatan COVID-19 di Hospital Kota Kinabatangan di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kinabatangan Supt Dzulbaharin Ismail yang dipetik Bernama berkata, kehilangan Suhin Mursidi, 37, dari bilik tahanan kuarantin wad lelaki hospital itu hanya disedari apabila pemeriksaan dibuat oleh dua anggota sentri yang bertugas pada kira-kira pukul 2.40 pagi.
“Lelaki itu ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kinabatangan pada 18 Feb kira-kira pukul 10.30 malam di Perumahan Pekerja Ladang Pontian Pico atas kesalahan memiliki dadah jenis syabu seberat 30.21 gram…
“Tahanan kemudian dibawa ke Hospital Kota Kinabatangan untuk menjalani Kit Ujian Pantas (RTK) Antigen COVID-19 sebelum dimasukkan ke lokap. Bagaimanapun, tahanan disahkan positif COVID-19 dan dirujuk ke hospital itu untuk rawatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Dzulbaharin berkata lelaki itu dipercayai melarikan diri melalui pintu belakang wad lelaki hospital dengan memakai kemeja T berwarna hitam dan berseluar jeans.