APMM Sabah Tahan Seorang Lelaki Disyaki Pengedar Dadah

APMM Sabah Tahan Seorang Lelaki Disyaki Pengedar Dadah

0
SHARE

TAWAU, SABAH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan seorang lelaki disyaki pengedar dadah sekaligus merampas 50 gram syabu pada Rabu.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Siva Kumar A/L Vengadasalam berkata, penahanan tersebut dibuat lebih kurang satu batu nautika selatan Pelabuhan CIQ Tawau sekitar 2.45 petang.

“Unit risikan APMM telah mengekori suspek yang menaiki bot penumpang bergerak dari Jeti CIQ Tawau menuju ke Sungai Melayu…

“Pemeriksaan ke atas suspek warga tempatan 27 tahun menemukan satu paket kecil hablur jernih kristal yang disorok di dalam seluar dalam beliau.

“Suspek terus ditahan dan dibawa ke jeti Maritim Malaysia Tawau untuk siasatan lanjut,” katanya dalam sebuah kenyataan.

Kes diserahkan kepada pegawai penyiasat Zon Maritim Tawau dan disiasat di bawah seksyen 39 a(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana disyaki memiliki dadah.

Siva berkata Maritim Malaysia khususnya Zon Maritim Tawau akan terus peka dengan sumber maklumat dari orang awam serta maklumat risikan yang dilihat mampu untuk mengekang aktiviti jenayah rentas sempadan.

“Selain itu, Maritim Malaysia juga akan terus mempergiat tugas pemantauan, rondaan dan penguatkuasaan serta meningkatkan hubungan dikalangan komuniti maritim bagi meningkatkan lagi penyaluran maklumat dari orang awam,” tambah beliau.

Orang ramai boleh membuat aduan kecemasan dan menyalurkan maklumat jenayah di perairan Tawau ke Pusat Operasi Maritim Malaysia Tawau di talian 089-752115 atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam.