Promosi Sambutan Hari Malaysia 2024 Diperhebat – Fahmi

Promosi Sambutan Hari Malaysia 2024 Diperhebat – Fahmi

0
SHARE
Fahmi
Fahmi ketika ditemui media ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Promosi Sambutan Hari Malaysia 2024 perlu diperhebat bagi memastikan Sambutan Hari Malaysia dirai dengan gah dan penuh dengan semangat patriotisme.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata pihaknya dengan kerjasama kerajaan Sabah menganggarkan kehadiran 40,000 pengunjung bagi memeriah sekali gus menyemarakkan rasa cinta dan sayang rakyat kepada negara.

“Kita telah minta supaya promosi bagi acara ini di perhebat dengan pemasangan billboard dan poster serta sebaran termasuk kepada komuniti Madani di seluruh Sabah.

“Saya harap kita semua dapat datang ataupun bagi mereka yang tidak dapat hadir secara fizikal juga akan dapat tonton sambutan yang akan disiarkan secara langsung di Radio Televisyen Malaysia (RTM) melalui saluran rasmi pada 16 September nanti dan juga melalui media sosial sama ada Facebook, TikTok dan sebagainya.

“Jadi, kita alu-alukan orang ramai dari dekat dan jauh untuk sama-sama meraikan Sambutan Hari Malaysia di Padang Merdeka 16 September ini jam 8.30 malam, ujarnya.

Mengenai konsep sambutan pada tahun ini, Fahmi menjelaskan, beberapa elemen akan dipilih oleh kerajaan negeri khususnya aspek persembahan, di samping mengekalkan konsep asalnya.

“Dari segi konsep sambutan Hari Malaysia pada tahun ini dari segi persembahannya ada elemen-elemen yang telah dipilih oleh Kerajaan Negeri Sabah dan ada juga beberapa aspek itu ada persamaan kepada Sambutan Hari Malaysia sebelum ini.

“Saya rasa, kita akan mempunyai persembahan yang baik dan sangat menyenangkan dan paling penting, ia akan menyemarakkan rasa cinta dan sayang kita kepada negara,” dedah beliau kepada media ketika melawat tapak sambutan di Padang Merdeka Kota Kinabalu, hari ini.

Turut serta dalam lawatan itu ialah Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Cristina Liew Chin Jin, Setiausaha Tetap Kementerian, Josie Lai serta Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohd Fauzi Mat Isa.

Terdahulu, Fahmi mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Malaysia Bil.2/2024 bersama Christina yang melibatkan 36 agensi serta jabatan masing-masing 24 kerajaan negeri dan 12 persekutuan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).

Antara aspek yang diperhalusi ialah penyelesaian isu internet bagi membolehkan semua pengunjung menikmati kemudahan tersebut tanpa sebarang masalah, selain membuat beberapa penyelarasan program. — JABATAN PENERANGAN SABAH