Orang Ramai Dijemput Hadir Sambutan Hari Malaysia 16 September Ini

Orang Ramai Dijemput Hadir Sambutan Hari Malaysia 16 September Ini

0
SHARE
Fahmi
Fahmi (kanan) ketika ditemui media ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Orang ramai dijemput menghadiri Sambutan Hari Malaysia yang akan diadakan di Padang Merdeka Kota Kinabalu pada 16 September ini.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata acara Sambutan Hari Malaysia akan bermula seawal 8.30 malam dan dihadiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kita ada jemputan rasmi seramai 3,000 tapi oleh sebab Padang Merdeka ini adalah kawasan yang terbuka, kawasan lapang, maka orang ramai dijemput untuk hadir dan ada disediakan skrin besar untuk tontonan ramai.

“Saya difahamkan di penghujung acara kita ada pertunjukan bunga api selain daripada persembahan-persembahan artis tempatan yang tersohor.

“Diharapkan orang ramai di sekitar Kota Kinabalu ataupun dari seluruh negara yang berkesempatan untuk hadir, marilah kita bersama-sama datang untuk menyambut Hari Malaysia,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu pada Khamis.

Kunjungan tersebut bertujuan menyampaikan jemputan rasmi kepada Tun Juhar untuk menyempurnakan Sambutan Hari Malaysia 2024.

Menurut Fahmi, Sambutan Hari Malaysia mengingatkan tentang kepentingan keterlibatan seluruh rakyat Malaysia dalam satu semangat patriotisme untuk memaknai pembentukan negara ini.

“Tuan Yang Terutama telah menyampaikan beberapa pandangan, cadangan untuk menjadikan acara tersebut bukan hanya bermakna, tapi juga very memorable, yang akan kita ingat.

“Jadi, kami terima baik saranan dan cadangan Tuan Juhar, insya-Allah kita akan berusaha untuk melaksanakan dan petang ini, saya dengan Yang Berhormat Datuk Christina akan melawat tapak untuk melihat tahap persediaan.

“Setakat ini, kami percaya segala persiapan berjalan dengan baik dan lancar, kita doakan acara gilang-gemilang Sambutan Hari Malaysia pada 16 September nanti akan dapat diraikan dalam suasana aman damai dengan semangat cintakan negara yang bergelora di sanubari kita,” ujarnya.

Turut hadir, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md. Isa. — JABATAN PENERANGAN SABAH