KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan Negeri memutuskan larangan sementara ‘dine-in’ di semua premis makan berikutan lonjakan kes baharu harian positif COVID-19 iaitu sebanyak 308 KES hari ini.
Jurucakap COVID-19 Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata larangan yang akan berkuat kuasa serta merta esok 29 Mei sehingga 2 Jun itu dibuat atas nasihat Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS).
“Jumlah kes positif COVID-19 di Sabah mencatatkan peningkatan yang ketara berbanding kelmarin iaitu daripada 217 kes kelmarin (Khamis) kepada 308 iaitu peningkatan sebanyak 91 kes…
“Daripada 308 kes jangkitan baharu hari ini, 123 kes adalah hasil daripada saringan kontak rapat, 115 kes adalah daripada saringan kluster, 51 kes adalah daripada saringan bergejala, enam kes daripada saringan bersasar dan 13 kes adalah daripada lain-lain kes,” kata beliau.
Satu kematian juga direkodkan di daerah Kota Kinabalu.

Masidi berkata terdapat 13 daerah di Negeri Sabah mencatatkan peningkatan kes dengan lima daerah menunjukkan peningkatan ketara iaitu pada julat dua angka.
“Daerah-daerah yang mencatatkan peningkatan membimbangkan ialah Kota Kinabalu 43 (+21), Kunak 36 (+16), Kalabakan 25 (+24), Papar 26 (+22) dan Keningau 27 (+15).
“Tujuh daerah pula mencatatkan penurunan kes dalam julat satu angka, kecuali daerah Tawau yang mencatatkan penurunan dalam julat dua angka.”
“Peningkatan kes yang berlaku sangat dipengaruhi oleh sikap komuniti dalam pematuhan SOP kendiri dan SOP yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Negeri,” katanya.
Sementara itu, aktiviti berjoging dan berbasikal dalam satu-satu masa dihadkan kepada tidak melebihi lima orang sahaja.
“Senaman Zumba, senam robik dan senaman berkumpulan tidak dibenarkan…
“Seperti yang telah dimaklumkan semalam, sukan golf adalah dibenarkan walau bagaimanapun kafe Kelab Golf tidak dibenarkan,” tegas beliau.





