Buat ‘Streaming’ Secara Langsung Di Wuhan, Wartawan Dipenjara 4 Tahun

Buat ‘Streaming’ Secara Langsung Di Wuhan, Wartawan Dipenjara 4 Tahun

0
SHARE

SHANGHAI, CHINA – Seorang wartawan wanita warga China dihukum penjara selama (4) empat tahun, hari ini, kerana membuat laporan ‘streaming’ secara langsung dari Wuhan ketika wabak COVID-19 terbongkar, kata peguam tertuduh.

Zhang Zhan, 37, dijatuhi hukuman itu selepas satu pendengaran ringkas di sebuah mahkamah, di sini, atas pertuduhan ‘memulakan pergaduhan serta memprovokasi masalah’ melalui pelaporannya mengenai peringkat permulaan wabak berkenaan.

Memetik laporan AFP, tertuduh yang juga seorang bekas peguam, ditahan sejak Mei lalu dan dihukum setelah hampir setahun wabak itu tercetus di Wuhan.

Laporan secara langsung dan hasil penulisannya dikongsi secara meluas dalam media sosial pada Februari lalu sehingga menarik perhatian pihak berkuasa.

Setakat ini, pihak berkuasa China sudah menghukum lapan individu yang mendedahkan maklumat berhubung COVID-19, dalam usaha mematahkan kritikan mengenai tindak balas kerajaan terhadap pandemik itu.

China kerap memuji diri atas kejayaan ‘luar biasa’ dicapainya dalam mengawal virus itu, dengan ekonomi kembali melonjak ketika kebanyakan negara lain masih melaksanakan perintah berkurung dan mencatat peningkatan semula kes.

Kawalan maklumat ketika krisis kesihatan global itu ialah antara usaha utama pihak berkuasa komunis China dalam mengolah naratif supaya ia berpihak pada mereka.

“Zhang Zhan kelihatan amat kecewa apabila hukuman penjara selama empat tahun itu dijatuhkan,” kata seorang daripada peguam belanya, Ren Quanniu, kepada pemberita di luar Mahkamah Rakyat Daerah Baharu Pudong Shanghai, hari ini.

Perbicaraan terbabit berlangsung hanya beberapa minggu sebelum sebuah pasukan pakar antarabangsa daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dijangka tiba di China untuk menyiasat asal-usul COVID-19.

Zhang adalah individu pertama daripada empat wartawan warganegara ditahan pihak berkuasa, awal tahun ini, selepas membuat laporan berkaitan dari Wuhan.

Sebelum ini, usaha AFP untuk menghubungi tiga lagi wartawan terbabit, iaitu Chen Qiushi, Fang Bin dan Li Zehua, tetapi tidak berjaya.