KOTA KINABALU: Ketua Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Dr Christoper Mandut, membidas kenyataan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, sambil menyifatkan kenyataan itu sebagai “defensif, pahit dan sarat dengan percanggahan.”
Menurut Dr Christoper, PBS tidak pernah mendakwa menerima sebarang tawaran rasmi daripada Barisan Nasional (BN), sebaliknya hanya menjelaskan pendirian parti untuk tidak bekerjasama dengan BN menjelang Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN17).
“Sama ada jemputan diberikan atau tidak bukan isu pokok. Apa yang kami nyatakan ialah pendirian kami — ini adalah hak demokratik kami, bukan khayalan. Ini dipanggil prinsip,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan tersebut dikeluarkan susulan reaksi Bung Moktar yang menuduh PBS menolak sesuatu yang tidak pernah ditawarkan, sambil melabelkan parti itu sebagai tidak relevan dan mengungkit sejarah lalu.
Dr Christoper mempertikai logik serangan Bung, menyatakan bahawa jika PBS benar-benar tidak relevan, maka tidak sepatutnya UMNO Sabah memberi tumpuan khusus melalui satu kenyataan media.
“Percanggahan itu sudah cukup menjelaskan segalanya,” tegas beliau, sambil menambah bahawa nada bermusuhan dari Bung lebih menunjukkan rasa tidak yakin berbanding keyakinan politik sebenar.
Beliau menegaskan PBS kekal sebagai salah satu parti tertua dan paling berpengaruh di Sabah dengan perjuangan berterusan untuk menegakkan hak Sabah dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Kami ada rekod perjuangan politik yang jelas dan terus mendapat sokongan pelbagai generasi rakyat Sabah. Kami tidak perlu menjatuhkan pihak lain untuk kekal relevan,” ujarnya.
Menjawab tuduhan bahawa PBS sering lompat pakatan dan mengkhianati sekutu, Dr Christoper menyarankan agar Bung terlebih dahulu menilai sejarah politik partinya sendiri.
“Politik itu dinamik. Parti berubah mengikut keperluan rakyat yang diwakili. Yang penting ialah sama ada keputusan itu dibuat demi kepentingan rakyat — bukan demi kepentingan peribadi,” katanya.
Beliau juga menolak dakwaan bahawa PBS hanya “menumpang kekuatan pihak lain,” dan menegaskan bahawa PBS adalah rakan aktif serta konstruktif dalam Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Dr Christoper turut menyeru agar semua pihak mengamalkan kematangan dan saling menghormati dalam wacana politik menjelang PRN akan datang, sambil mengingatkan bahawa rakyat Sabah sedang memerhati.
“Cukuplah dengan serangan peribadi dan drama politik. Rakyat sekarang lebih bijak dan mereka tahu siapa yang benar-benar bekerja untuk mereka, dan siapa yang sekadar membuat bising di media,” tegasnya.






