GEORGETOWN: Gabungan Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC) dan Kelab Akhbar Pulau Pinang (PPC) muncul juara keseluruhan Sukan Muhibah Media NPC-Sabah edisi kedua yang berlangsung di Pulau Pinang dari 3 hingga 6 Julai lalu.
Pasukan tuan rumah menewaskan wakil Sabah, Kelab Rekreasi Media dan Komunikasi Kota Kinabalu (MedComm KK), dengan keputusan 3-2 sekali gus mempertahankan Piala Cabaran yang dimenangi pada edisi sulung di Kota Kinabalu empat tahun lalu.
NPC-PPC meraih kemenangan dalam acara dart, pool dan boling, manakala MedComm KK unggul dalam bola sepak dan badminton.
Delegasi NPC diketuai presidennya, Datuk Ahirudin Attan, sementara PPC dipimpin presidennya, Ang Tong Kai.
Pengerusi MedComm KK, Christopher Bernard Maskilone berkata penganjuran itu bukan sekadar pertandingan sukan, sebaliknya platform mengeratkan hubungan dan kerjasama antara pengamal media Sabah dan Semenanjung.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam serta para penaja atas sokongan menjayakan penyertaan Sabah.
Beliau berharap program muhibah itu dapat diteruskan sebagai acara dwitahunan.






