SEMPORNA: Lebih 827 kilogram sisa berjaya dikutip di Kampung Sri Aman dan perairan sekitarnya menerusi program gotong-royong pada Ahad lalu, sekali gus mencerminkan keberkesanan sistem pengurusan sisa berasaskan komuniti yang dilaksanakan di kampung berkenaan.
Program itu merupakan sebahagian daripada Projek Rintis Sistem Pengurusan Sisa Berasaskan Komuniti oleh Reef Check Malaysia bersama Jawatankuasa Kampung Sri Aman, dengan sokongan Etika Sdn Bhd, Majlis Daerah Semporna, Pejabat Daerah Semporna serta Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS).
Seramai 53 penduduk menyertai aktiviti tersebut, mengumpul 476.5kg sisa di kawasan kampung, kebanyakannya plastik. Usaha turut diperluas ke laut dengan bantuan AMWIL yang mengutip 350.8kg sisa terapung seperti kain dan bahan pukal lain.
Sejak dilancarkan pada Mac 2026, program ini berkembang daripada 50 kepada 100 isi rumah, dengan amalan pengasingan sisa dan kutipan berjadual dua kali seminggu. Setakat 22 Jun lalu, sebanyak 3,974.52kg sisa berjaya dikumpul melalui sistem ini.
Penduduk turut membina Rumah Pengumpulan Sisa bagi menyokong pengurusan dan penyimpanan bahan kitar semula secara sistematik.
Ketua Kampung, Hassan Gabra Haji Hajan berkata, usaha itu membuktikan komuniti mampu menjadi pemacu utama dalam menangani isu pengurusan sisa melalui kerjasama dan perubahan sikap.
Program ithu diharap menjadi panduan kepada kampung pesisir lain di Semporna dan Sabah dalam mengurangkan pencemaran serta memperkukuh pengurusan sisa secara mampan.






