Pasangan Suami Isteri Bercerai Dan Kahwin Semula Setiap Tiga Tahun

Pasangan Suami Isteri Bercerai Dan Kahwin Semula Setiap Tiga Tahun

0
SHARE

TOKYO, JEPUN – Sepasang suami isteri di Jepun bercerai dan berkahwin semula setiap TIGA (3) tahun selepas mereka gagal untuk mencapai persetujuan berkaitan penggunaan nama keluarga.

Memetik OddityCentral, pasangan berkenaan mengambil keputusan yang pelik itu supaya mereka boleh bergilir-gilir menggunakan nama keluarga masing-masing.

Ini kerana, undang-undang di Jepun mewajibkan pasangan mesti bersetuju dengan satu nama keluarga sahaja untuk digunakan selepas mereka berkahwin, namun segelintir pasangan kadang-kadang gagal mencapai kata sepakat.

Pasangan yang  berasal dari Hachioji mengalami dilema itu akibat daripada undang-undang berkenaan apabila teman wanita lelaki itu menegaskan mahu mengekalkan nama keluarganya, iaitu sesuatu yang tidak disetujui oleh teman lelakinya.

Isu tersebut menyebabkan mereka bertengkar dan teman lelakinya cuba mencari jalan penyelesaian terbaik untuk mereka.

Ketika itulah dia mendapat tahu tentang pasangan lain yang mengalami masalah yang sama yang berjaya menyelesaikannya dengan bercerai secara berkala dan berkahwin semula di bawah nama keluarga pasangan yang lain.

Itulah yang mereka putuskan untuk dilakukan.

Mereka berkahwin pada 2016 dan menggunakan nama keluarga suami selama tiga tahun. Pada 2019, mereka bercerai dan kemudian berkahwin semula, menggunakan nama keluarga isteri.

Pada Julai 2022, mereka dijadualkan untuk bercerai lagi, selepas itu mereka merancang untuk berkahwin semula menggunakan nama keluarga suami.

Biarpun kompromi ini menyelesaikan perselisihan asal mereka, kedua-duanya mengakui bahawa menukar nama keluarga mereka secara berkala menimbulkan sedikit masalah dan boleh mengelirukan terutama semasa mengisi borang dan kertas kerja.