KOTA KINABALU, SABAH – Lebih 220,000 orang pengguna telah berjimat melalui Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) yang diadakan di sekitar negeri sejak 4 Disember tahun lalu dengan jumlah jualan mencecah RM2.7 juta.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sabah, Georgie Abas berkata, sambutan pengguna dan peniaga di Sabah amat menggalakkan.
“Terkini PJKM telah dilaksanakan sebanyak 97 kali di kesemua 25 kawasan Parlimen seluruh Sabah…
“Dari maklum balas yang diterima, rata-rata pengunjung menyambut baik dan meminta PJKM ini dilaksanakan secara berkala serta mengakui bahawa harga barang-barang yang dijual di PJKM dapat meringankan bebanan kos sara hidup rakyat dalam situasi sekarang ini,” katanya.
PJKM menawarkan pilihan kepada pengguna untuk mendapatkan pelbagai barangan keperluan harian dengan harga berpatutan yang lebih murah.
“KPDNHEP menggalakkan rakyat negeri Sabah untuk merebut peluang ini dalam merancang pembelian keperluan rumah dan seterusnya berjimat dari tawaran yang diberikan melalui PJKM di lokasi yang berdekatan dengan mereka.
“KPDNHEP ingin mengingatkan kepada semua peniaga agar sentiasa beretika mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan kerajaan.
“Kerajaan menyeru agar rakyat bersabar dan terus bersama kerajaan dalam waktu sukar yang luar biasa ini yang turut melanda dunia dan memberi kesan kepada rantaian bekalan global dan negara,” tambah Georgie.