TAMBUNAN: Kerajaan Negeri melalui Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan (PHEDN&P), Jabatan Ketua Menteri menyalurkan bantuan khas berjumlah RM57,250 bagi membantu guru-guru yang terjejas dalam insiden kebakaran Sekolah Agama Negeri (SAN) Pekan Tambunan.
Bantuan berupa wang tunai itu disampaikan oleh Timbalan Setiausaha PHEDN&P, Mohd Rizan Abran, dalam satu majlis penyerahan yang diadakan di Pejabat Daerah Tambunan, di sini, pada Selasa.
Menurut Mohd Rizan, bantuan tersebut diharap dapat meringankan beban guru-guru terbabit yang kehilangan pelbagai peralatan pengajaran serta barangan peribadi akibat kebakaran yang berlaku pada 12 Oktober 2025 lalu.
Katanya, kejadian itu bukan sahaja memusnahkan sebahagian kemudahan sekolah, malah turut menyebabkan bahan pengajaran, peralatan elektronik serta harta peribadi milik guru terlibat hangus dijilat api.
“Kerajaan Negeri prihatin dengan kesukaran yang dihadapi mangsa terlibat dan berharap bantuan khas ini dapat membantu mereka menggantikan keperluan asas serta peralatan mengajar yang musnah,” katanya.
Antara yang menerima bantuan khas itu ialah Guru Besar sekolah berkenaan, Ahmad Subri Janing, yang kehilangan komputer riba serta bahan pengajaran apabila pejabat dan peralatan kerja musnah dalam kebakaran tersebut.
Turut menerima bantuan ialah beberapa guru lain yang kehilangan bahan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP), fail pengajaran, buku rujukan, peralatan audio seperti pembesar suara, selain barangan peribadi termasuk peralatan rumah dan kenderaan.






