KKIA Bakal Dinaik Taraf, Tingkat Kapasiti Dari 9 Hingga 12 Juta Penumpang...

KKIA Bakal Dinaik Taraf, Tingkat Kapasiti Dari 9 Hingga 12 Juta Penumpang Setahun

0
SHARE
Anthony
Anthony Loke ( Sumber Foto: Laman media sosial rasmi Menteri Pengangkutan )

KOTA KINABALU, SABAH – Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) bakal dinaik taraf bagi meningkatkan kapasiti penumpang penerbangan dari sembilan juta ke 12 juta penumpang setahun.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata pihaknya telah menyiapkan kertas kerja berkenaan perkara terbabit dan akan dibentangkan dalam kabinet selepas cuti Deepavali.

KKIA begitu sesak dan (menerima) hampir sembilan juta penumpang setahun. Separuh tahun pertama saja telah menerima empat juta penumpang dan sepanjang tahun ini telah mencapai lapan juta penumpang.

Sebelum pandemik COVID-19 kita mencapai 9.4 juta penumpang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dalam sidang media selepas perasmian Konvensyen Biasa DAP Sabah 2024 bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, semalam.

Dalam pada itu, beliau turut berkata pihaknya juga menganggarkan kos sekitar beratus juta untuk menaik taraf KKIA namun kos sebenar akan diumumkan selepas mendapat kelulusan kabinet.

Menurutnya, peruntukan untuk menaik taraf KKIA tidak membabitkan sebarang dana daripada kerajaan Persekutuan sebaliknya pembiayaan daripada Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

“Sebab itu ia tidak diumumkan ketika pembentangan Belanjawan 2024 yang lepas.
Modal pembangunan ini akan dilaburkan oleh MAHB sebagai pengendali lapangan terbang. Jadi kerajaan tidak perlu memperuntukkan dana.

“Ia akan dibiayai melalui MAHB dan mereka sudah tentu mempunyai modal untuk mendapatkan semula pelaburan mereka. Jadi kertas kerja akan dihantar untuk dibentangkan kepada Kabinet selepas cuti Deepavali. Saya berharap Kabinet akan menerima kertas kerja ini,” katanya.

Sementara itu, Anthony berkata MAHB dijangka akan memulakan proses kerja menaik taraf dan pembinaan pada awal tahun hadapan.

“Jadi projek itu adalah untuk memperbesarkan KKIA (bagi menampung kapasiti) sembilan juta penumpang setahun kepada 12 juta penumpang setahun. Bermakna, kita akan memperbesarkan bangunan terminal.

“Kita juga akan membina tempat letak kereta bertingkat dan ruangan komersial. Saya juga membayangkan Kota Kinabalu akan mempunyai lapangan terbang seperti yang kita ada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di mana ia mengintegrasikan pusat membeli-belah dengan bangunan terminal.

“Jadi sudah tentu saya akan berbincang dengan MAHB untuk melihat sama ada (lapangan terbang dengan konsep KLIA 2) boleh dilaksanakan di Kota Kinabalu.

“Ini kerana KKIA merupakan lapangan terbang antarabangsa yang penting. Ia merupakan lapangan terbang antarabangsa kedua terbesar dan kedua paling sibuk di Malaysia. Disebabkan kemasukan pelancong adalah tinggi, saya fikir lebih banyak ruangan komersial diperlukan untuk sebuah lapangan terbang,” katanya.

Disamping itu, Anthony juga berkata perkara itu juga mampu menyumbang dalam meningkatkan ekonomi dan peluang pekerjaan di Sabah.

“Saya ingin menegaskan bahawa kerajaan akan terus memberikan sokongan kepada Sabah,” katanya.