KKPA Santuni Pesara Uzur, Keluarga

KKPA Santuni Pesara Uzur, Keluarga

0
SHARE
Kppa
Chu Moi Ku (dua dari kiri) ketika menerima sumbangan daripada Wan Ahmad Dahlan ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz menyantuni beberapa pesara perkhidmatan awam sekitar ibu negeri.

Menurut Wan Ahmad, kerajaan memberi perhatian terhadap keperluan dan kebajikan para pesara selaras rukun keenam dalam MADANI iaitu Ihsan yang menekankan kepedulian dan belas kasihan.

“Pada hari ini (semalam), kita telah mengadakan lawatan ke rumah dua pesara dan juga seorang balu kepada pesara, ini semua bertujuan memberikan sokongan kepada pesara apabila kita dapati mereka memerlukan bantuan daripada pihak kerajaan.

“Pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) juga berkolaborasi dengan Kumpulan Wang Pencen Balu, Anak Yatim (KWPBAY), Setiausaha Persekutuan Negeri Sabah dan Affin Bank bersama berganding bahu untuk menyantuni pesara-pesara yang telah dikenal pasti yang memerlukan bantuan,” katanya kepada media selepas Program Ziarah Pesara Uzur di sini, pada Rabu.

Wan Ahmad turut memaklumkan program-program seumpama akan diadakan di setiap negeri dan perlu dilaksanakan secara berterusan kerana memberikan impak yang baik kepada pesara agar mereka tidak merasa dipinggirkan apabila perkhidmatan telah berakhir.

“Selain membantu mereka, juga akan memberi satu lonjakan di dalam mencari pendapatan kepada pesara ataupun mereka yang berada dalam golongan miskin dan miskin tegar.

“Harapan saya supaya ia dijadikan satu acara ataupun program yang berterusan supaya kita dapat menyantuni mereka yang memang memerlukan bantuan daripada pihak kerajaan,” ujar beliau.

Dalam Program Ziarah tersebut, pesara persekutuan, Bakar @Bagol Adani, 75, bersyukur dengan keprihatinan kerajaan dan berharap agar bantuan seperti itu dapat diteruskan untuk membantu pesara yang memerlukan bantuan.

“Saya sudah bersara lebih dari 20 tahun dan selepas bersara sebagai anggota bomba saya tidak dapat melakukan apa-apa aktiviti disebabkan masalah kesihatan.

“Saya sangat berbesar hati atas bantuan JPA yang masih memberi sumbangan terhadap pesara kerajaan yang memerlukan bantuan terutama pesara yang mempunyai masalah kesihatan, itu sangat baik sekali dalam menghadapi masa-masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, pesara penerima e-kasih, Othman @ Matius Angkaus berkata kos hidup yang semakin meningkat amat membimbangkan memandangkan duit pencen yang diterima tidak begitu tinggi.

“Harga barang sekarang semakin tinggi jadi saya harap-harap ada berita baik untuk pesara seperti yang baru-baru ini Perdana Menteri kita umumkan.

“Pesara-pesara ini kebanyakannya datang daripada luar kawasan maksudnya dari pedalaman ke bandar mencari nafkah hidup untuk menampung keluarga jadi saya harap kerajaan dapat membantu orang macam kami yang tidak kemampuan ini,” katanya yang telah bersara sebagai Pembantu Luar di Jabatan Muzium Sabah pada 2019.

Selain Bakar dan Othman, rombongan juga mengunjungi balu kepada pesara Pegawai Bomba Ho Yun Shu iaitu Chu Moi Kui @ Ho Moi Kui yang turut berterima kasih kepada pihak kerajaan atas keprihatinan memberikan bantuan demi memastikan kebajikan mereka sentiasa diambil berat. — JABATAN PENERANGAN SABAH