KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Roger Chin mengkritik kenyataan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azmi Sharom berhubung isu pembahagian kerusi Parlimen, sambil menegaskan perkara itu tidak wajar dilihat semata-mata dari sudut bilangan pengundi bagi setiap kawasan.
“Saya melihat ini sebagai satu cara yang membimbangkan bagaimana isu ini dibingkaikan oleh seorang Timbalan Pengerusi SPR,” katanya sebagai mengulas kenyataan Azmi yang menyentuh ketidakseimbangan bilangan pengundi antara negeri.
Roger berkata, walaupun Azmi tidak secara langsung menyatakan Sabah dan Sarawak terlebih diwakili, pendekatan yang menilai perwakilan terutama berdasarkan angka pengundi memberi gambaran sedemikian.
Menurutnya, pendekatan itu tidak lengkap kerana pembentukan Malaysia tidak berasaskan kiraan populasi semata-mata.
“Sabah dan Sarawak menyertai Persekutuan melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), iaitu satu persetujuan perlembagaan yang dirunding berasaskan perkongsian setara, perlindungan dan keseimbangan, bukan logik majoriti semata-mata,” katanya.
Beliau berkata, perwakilan Parlimen bagi Sabah dan Sarawak bertujuan menjamin suara serta pengaruh dalam Persekutuan, dan bukan hanya mencerminkan saiz penduduk.
“Apabila pemimpin kanan pilihan raya bercakap seolah-olah perwakilan hanyalah isu angka, ia secara tidak langsung mentafsir semula Malaysia sebagai sebuah negara berteras populasi,” katanya.
Sehubungan itu, Roger menegaskan bahawa MA63 bukan sekadar sejarah, sebaliknya merupakan urusan perlembagaan yang masih belum diselesaikan.
Terdahulu, Azmi dilaporkan berkata Selangor mempunyai 22 kerusi Parlimen bagi kira-kira 2.9 juta pengundi, dengan purata 132,000 pengundi setiap kerusi, manakala Terengganu mencatatkan purata 116,000 pengundi bagi setiap kerusi.
Sebaliknya, Sabah dan Sarawak masing-masing mempunyai sekitar 65,000 hingga 76,000 pengundi bagi setiap kerusi Parlimen, yang menurut Azmi merupakan perwakilan yang dibenarkan oleh Perlembagaan dan mengambil kira faktor geografi serta kepadatan penduduk, khususnya di kawasan luar bandar.






