Wisma MUIS Terima ‘Fire Certificate’, Perkukuh Tahap Keselamatan Kebakaran

Wisma MUIS Terima ‘Fire Certificate’, Perkukuh Tahap Keselamatan Kebakaran

0
SHARE

KOTA KINABALU: Bangunan Wisma Majlis Ugama Islam Negeri Sabah (MUIS) hari ini secara rasmi menerima Sijil Perakuan Bomba (Fire Certificate), sekali gus menandakan pematuhan penuh terhadap piawaian keselamatan kebakaran yang ditetapkan di bawah Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341).

Sijil berkenaan disampaikan oleh Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sabah, Mohd Pisar Aziz, dalam satu majlis yang berlangsung di Wisma MUIS, di sini, hari ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Exco Agama Negeri Sabah, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif berkata, penyerahan sijil itu merupakan satu detik bersejarah bagi bangunan berusia lebih 40 tahun tersebut.

“Hari ini kita menempah sejarah bagi bangunan ini dan saya ucapkan berbanyak-banyak penghargaan dan terima kasih kepada pihak Bomba yang hadir menyampaikan sijil perakuan yang sangat perlu untuk Majlis Ugama Islam Sabah.

“Mudah-mudahan dengan adanya sijil ini kita terus memastikan semua syarat dipatuhi termasuk sistem peralatan keselamatan, kelengkapan menentang kebakaran dan yang sangat penting ialah amalan serta latihan dalam kalangan staf dan kakitangan MUIS,” katanya ketika ditemui media selepas majlis berkenaan.

Menurut beliau, sepanjang lima tahun lalu, kerajaan telah membelanjakan lebih RM15 juta bagi menaik taraf kemudahan bangunan termasuk sistem keselamatan kebakaran, penggantian 12 unit lif baharu, pemasangan eskalator baharu, kerja-kerja pembaikan bumbung serta memenuhi keperluan teknikal yang ditetapkan oleh pihak Bomba.

Beliau turut memaklumkan bahawa sijil terdahulu diperoleh sekitar tahun 1990, namun pembaharuan memerlukan pematuhan kepada syarat-syarat semasa yang lebih ketat.

Sementara itu, Mohd Pisar berkata, penyerahan Sijil Perakuan Bomba kepada Wisma MUIS adalah satu pencapaian penting yang melambangkan komitmen pengurusan bangunan dalam memastikan pematuhan terhadap piawaian keselamatan kebakaran.

“Sijil ini bukan sekadar dokumen rasmi, tetapi merupakan jaminan keselamatan kepada semua penghuni dan pengguna bangunan bahawa sistem pepasangan keselamatan kebakaran telah diperiksa, disahkan dan berada dalam keadaan baik. Ia juga mencerminkan tanggungjawab bersama dalam melindungi nyawa dan harta benda daripada ancaman kebakaran,” katanya.

Beliau berkata sehingga Disember 2025, JBPM Sabah merekodkan sebanyak 497 bangunan dikategorikan sebagai Premis Ditetapkan, dengan 401 premis atau 80 peratus daripadanya memiliki Sijil Perakuan Bomba yang masih berkuat kuasa. Daripada jumlah itu, sebanyak 47 adalah premis kerajaan termasuk Wisma MUIS.

Menurutnya, pemeriksaan penguatkuasaan akan terus dijalankan sekurang-kurangnya sekali setahun bagi memastikan sistem keselamatan kebakaran sentiasa berfungsi dengan baik serta tahap amalan keselamatan berada pada tahap memuaskan.

Mohd Pisar berharap pengurusan Wisma MUIS akan terus mengekalkan tahap keselamatan kebakaran yang baik bukan sahaja dari aspek teknikal, tetapi juga melalui kesedaran, latihan dan budaya pencegahan berterusan.

“Wisma MUIS sebagai salah satu mercu tanda institusi Islam di Sabah boleh menjadi contoh teladan kepada premis lain dalam mematuhi undang-undang dan piawaian keselamatan kebakaran,” katanya.