
KOTA KINABALU, SABAH – Lebih 1,500 orang hadir dalam pelancaran Program Sabah Sihat Peringkat Negeri Sabah di Gelanggang Bola Keranjang Kompleks Sukan Likas.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk James Ratib berkata program tersebut menekankan konsep gaya hidup sihat melalui penjagaan kesihatan menyeluruh dari segi fizikal, mental dan rohani.
“Program ini akan dijadikan aktiviti khas setiap bulan iaitu bagi semua kementerian dan jabatan di seluruh Sabah yang akan dikendalikan oleh Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR) sendiri bersama Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS).
“Salah satu objektifnya adalah untuk memperkenalkan satu tarian senaman dengan corak khas untuk semua rakyat Sabah yang boleh digunakan di semua daerah dan kementerian serta menggalakkan rakyat mengamalkan amalan dan cara hidup yang mempromosikan kesihatan,” katanya kepada media selepas pelancaran program, pada Sabtu.
Program Sabah Sihat merupakan kerjasama KPMKR dan KBSS yang dilancarkan serentak di enam zon di seluruh negeri melibatkan Kota Kinabalu, Tawau, Sandakan, Keningau, Beaufort serta Kudat.
James turut memaklumkan kerajaan prihatin dengan kesihatan rakyat yang masih pada tahap yang tidak memuaskan dan mengambil inisiatif menawarkan skim pemeriksaan kesihatan percuma di seluruh negeri.
“Pelbagai aktiviti dan program dilaksanakan termasuk Skim Bantuan Pemeriksaan Kesihatan secara percuma yang dilakukan di semua daerah bagi rakyat Sabah di bawah KPMKR,” ujarnya.
Pelbagai acara menarik diadakan dalam Program Sabah Sihat antaranya pameran, saringan kesihatan, challenge game untuk fitness test, jualan rahmah, derma darah, promosi pemakanan sihat dan cabaran 300K Langkah Sabah Sihat.
Hadir sama, Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Ellron Angin, Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Fairuz Renddan, Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Flovia Ng, Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan Sabah, Datuk Mansur Asun dan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Maria Chong. — JABATAN PENERANGAN SABAH





