JHEWAniaga Bantu Usahawan Wanita Pasarkan Produk Ke Peringkat Global

JHEWAniaga Bantu Usahawan Wanita Pasarkan Produk Ke Peringkat Global

0
SHARE
Kpmkr
Flovia (dua kiri) menyampaikan cek cura kepada kepada para penerima anugerah khas JHEWA disaksikan oleh Maria (kiri) dan Haslina (kanan) - ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Portal JHEWAniaga membantu para usahawan memasarkan produk sehingga ke pasaran antarabangsa.

Menteri Pembangunan Masyarakat Dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR), Datuk James Ratib berkata, portal tersebut merupakan alternatif penting yang mampu meningkatkan pembangunan ekonomi para usahawan wanita khususnya.

“Usahawan kini memerlukan saluran digital untuk menyebarkan informasi seterusnya mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka.

“Oleh itu, portalJHEWAniaga dibangunkan oleh Jabatan Hal Ehwal Wanita (JHEWA) Sabah yang merupakan inisiatif bermanfaat untuk membantu para usahawan dalam mempromosi dan memasarkan produk atau perkhidmatan sehingga ke pasaran global dengan hanya menjalankan perniagaan secara atas talian.

“Portal ini juga dapat membantu meringankan beban para pengusaha kecil-kecilan tanpa melibatkan kos yang tinggi seperti bayaran sewa kedai, kos pekerja dan lain-lain sekaligus dapat mengurangkan kos perniagaan.

“Kerajaan negeri sentiasa mengiktiraf keperluan e-dagang demi meningkatkan pembangunan ekonomi usahawan kecil, mikro dan sederhana (PKMS) di negeri Sabah dan saya sarankan agar usahawan wanita khususnya dapat memanfaatkan portal ini untuk membuka lebih banyak peluang dalam mempromosikan perniagaan, “katanya.

Disamping itu, beliau juga memaklumkan kerajaan negeri turut prihatin membantu para usahawan wanita yang kurang berkemampuan mengembangkan perniagaan.

“Kerajaan negeri melalui KPMKR telah memperuntukkan sebanyak RM 6.35 juta kepada JHEWA bagi melaksanakan pelbagai projek dan program pembangunan wanita antaranya Program keusahawanan ibu tunggal, wanita berkahwin dalam kategori B40 dan para usahawan wanita.

“Usaha yang diambil kerajaan menerusi peruntukan ini membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap pembangunan wanita di Sabah,” ujarnya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri KPMKR, Datuk Flovia Ng sempena Majlis Apresiasi Usahawan Wanita JHEWA Tahun 2024 di salah satu hotel terkemuka di sini pada Jumaat.

Flovia turut menyampaikan 4 anugerah khas iaitu Anugerah Usahawan Kreatif dan Inovatif, Anugerah Usahawan Komuniti, Anugerah Usahawan Mikro dan Anugerah Usahawan Cekal kepada wanita Sabah bimbingan JHEWA atas pencapaian dan kejayaan perniagaan yang membanggakan sepanjang dua tahun.

Turut hadir, Setiausaha Tetap KPMKR, Maria Chong, Pengarah JHEWA, Haslina Ismail dan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah, Jais Asri. — JABATAN PENERANGAN SABAH