NAJIB HILANG PEKAN JIKA RAYUAN PENGAMPUNAN DIRAJA DITOLAK

NAJIB HILANG PEKAN JIKA RAYUAN PENGAMPUNAN DIRAJA DITOLAK

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Status bekas Perdana Menteri yang dipenjara, Datuk Seri Najib Razak sebagai Ahli Parlimen Pekan, kekal sehingga permohonan pengampunan diraja itu ditolak.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun, berkata Najib sudah memfailkan petisyen pengampunan pada Jumaat lalu (2 Sept)…

Petisyen pengampunan itu difailkan dalam tempoh 14 hari dan status Najib sebagai Ahli Parlimen Pekan hanya akan ditentukan selepas proses pengampunan itu selesai mengikut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

“Ini bermakna status Najib sebagai Ahli Parlimen Pekan pada masa ini tidak berubah dan akan hanya dimuktamadkan apabila petisyen pengampunan itu dibereskan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azhar berkata beliau telah menerima serahan salinan permohonan pengampunan mengikut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan terhadap Najib bertarikh 1 September lalu.

Beliau turut menerima salinan surat daripada Tetuan Shafee & Co pada hari yang sama, melampirkan permohonan pengampunan itu yang diaku terima oleh Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri pada 2 September lalu.

Pada 28 Julai 2020, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali mendapati Najib bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kuasa dan pengubahan wang haram dan memerintahkannya dipenjara 12 tahun dan didenda RM210 juta.

Pada 23 Ogos lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.