ALOR SETAR, KEDAH – Dua lelaki dipenjara sehari dan didenda RM10,000 seorang selepas mengaku bersalah memberi rasuah kepada anggota penguat kuasa Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kedah, dua tahun lalu.
Memetik laporan Harian Metro, Goh Yee Chian, 28, dan Yong Kim Loong, 39, membuat pengakuan selepas pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Mandarin di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Alor Setar, Azman Abu Hassan.
Mengikut pertuduhan, mereka memberi suapan iaitu RM1,500 kepada anggota penguat kuasa AADK negeri sebagai dorongan kepadanya untuk menukarkan keputusan saringan kedua ujian air kencing negatif dadah.
Mereka melakukan kesalahan itu di dalam tandas awam Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQS) Bukit Kayu Hitam, 10.30 pagi, 14 Ogos 2015.
Mereka dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Prosiding kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Shahrul Khuzaini Amiruddin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Kedua-dua tertuduh memohon hukuman diringankan selepas mengaku bersalah dan insaf serta berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu lagi.
Azman berkata, perbuatan mereka satu kesalahan serius dan berharap kejadian ini tidak akan berulang.
“Kesalahan rasuah bukan terima rasuah sahaja tetapi beri rasuah juga satu kesalahan besar dan kes ini dijadikan pengajaran kepada yang ada di dalam mahkamah dan di luar.
“Bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. Selalu kita dengar terima rasuah tetapi dalam kes ini memberi rasuah juga satu kesalahan besar,” katanya.
Menurutnya, jika ada masalah dalam perundangan hendaklah diselesaikan ikut perundangan ditetapkan bukan dengan ikut pintu belakang.
“Mahkamah dalam kes ini mengambil kira bahawa mereka mengaku salah dan saya berharap mereka yang sudah insaf tidak sesekali mengulangi perbuatan ini.
“Atas kesalahan ini mahkamah menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM10,000 setiap seorang dan jika gagal bayar penjara enam bulan,” katanya.